Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Johor meningkat 1,024 orang malam ini
Diterbitkan:  Jan 4, 2024 9:44 PM
Dikemaskini: 1:44 PM

Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 1,024 orang di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam ini berbanding 330 orang di tujuh PPS pada 2 petang tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), 13 PPS yang dibuka itu termasuk empat di Johor Bahru yang menempatkan 404 mangsa, enam di Kota Tinggi (348 mangsa), dua di Mersing (212 mangsa) dan satu di Kluang (60 mangsa).

Menurut Nadma, status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati tiga sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Endau, Kluang, Johor yang merekodkan 14.57 meter (m) dengan trend meningkat; Sungai Perak, Hulu Perak, Perak (112.06m dengan trend menurun) dan Sungai Arau, Arau Perlis (23.47m) dengan trend meningkat) setakat malam ini.

Laporan itu juga menyatakan terdapat 26 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.

Jalan terlibat antaranya Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak, Perak; Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga-Sintok di Kubang Pasu, Kedah dan Jalan Temerloh-Jerantut di Pahang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS