Sebarang langkah mahupun usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan ternoktah Feb nanti selepas Sultan Johor menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Penganalisis Sosio Politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Muqit Muhammad yakin selepas kegagalan 'Langkah Dubai' parti politik akan lebih realistik dalam mengatur sebarang gerakan selepas ini.
"Saya rasa selepas daripada kegagalan Langkah Dubai ini saya rasa parti-parti politik atau politikus sudah pun mula bersifat realistik dan juga lebih berhati-hati untuk menggerakkan gerakan yang sama terutamanya selepas ini kita akan ada Yang di-Pertuan Agong dari Johor.
"Yang mana kita lihat kenyataan-kenyataan bakal Agong iaitu Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu sudah pun menunjukkan satu reaksi bagaimana sikap Baginda terhadap mana-mana pihak yang cuba menggoyahkan kerajaan yang sedia ada, pada saya itu satu kenyataann yang neutral sebenarnya.
"Bukanlah bermaksud Seri Paduka mahu mencampuri urusan politik dan sebagainya tetapi kenyataan itu kenyataan bersifat harapan dan juga sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada Perikatan Nasional (PN) sebab apabila kenyataan dikeluarkan bakal Agong pada saya itu perlu menjadi pertimbangan yang lebih khusus daripada PN daripada pembangkang," katanya dalam satu wawancara bersama Kini TV.
Katanya, melalui Langkah Dubai jelas pembangkang gagal kerana mereka sering melakukan propaganda yang memainkan isu sama.
Abdul Muqit berkata, PN seharusnya menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang jika berhasrat mahu menjatuhkan kerajaan seandainya kerajaan gabungan ini gagal menjalankan tugas pada rakyat.
"Seandainya kerajaan PH atau kerajaan perpaduan tak mampu menyelesaikan isu rakyat dengan baik tunggu pilihan raya umum, sebab itu proses yang terbaik untuk memilih pemimpin, untuk memilih kerajaan kalau tidak kita akan mengulangi kesilapan yang sama dan kita akan sentiasa kebelakang," katanya lagi.
Semalam, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan memang wujud gerakan mahu menjatuhkan kerajaan - digelar 'Langkah Dubai' - seperti dilaporkan beberapa hari lalu.
Bahkan timbalan perdana menteri itu mendakwa gerakan berkenaan bukan saja didalangi pemimpin dari parti pembangkang bahkan turut disertai individu tertentu dari blok kerajaan.
Bagaimanapun Anwar memilih untuk tidak 'mengambil pusing' mengenai rancangan sulit yang dinamakan 'Langkah Dubai' untuk menggulingkan kerajaannya baru-baru ini
Sambil mengakui menyedari rancangan seumpama itu, dia sebaliknya berkata, tumpuan kerjaan adalah untuk membangunkan negara.
Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor mengakui wujud gerakan untuk menjatuhkan kerajaan, namun bukanlah Langkah Dubai sebaliknya Langkah Chow Kit.
Kata Muhammad Sanusi mereka hanya perlu bermesyuarat di Kuala Lumpur bagi menjatuhkan kerajaan Anwar.
Bagi Pensyarah Akademi Pengajian Melayu UM, Dr Awang Azman Awang Pawi pula, Langkah Dubai hanyalah sekadar idea kedai kopi di ibu negara Emiriah Arab Bersatu itu.
Menurutnya, fokus utama pada bulan Jan ini adalah kepada peralihan Yang di-Pertuan Agong, bukannya pertukaran kerajaan.
"Walau pun sebenarnya fokus dalam bulan Jan ini bukan fokus peralihan kerajaan perpaduan sebaliknya satu fokus peralihan Yang di-Pertuan Agong yang lalu dengan Agong yang baru pada 1 Feb, ini fokus utama dalam kerajaan yang memastikan peralihan tersebut berjalan lancar dan pelbagai perkara yang dirancang.
"Saya kira ia merupakan idea kedai kopi di Dubai, saya kira begitu sahaja, idea itu idea besar, perancangan sangat besar, tetapi dari segi pelaksanaan tindakan tersebut tidak dapat dilakukan. Mereka kena sedar apa-apa nak menumbangkan kerajaan, satu ia perlu melalui Parlimen di Dewan Rakyat, seperti undi tidak percaya seumpamanya, itu yang pertama.
"Yang kedua sekarang ada akta anti lompat parti yang menyekat daripada pergerakan yang sangat berleluasa seperti sebelum pembentukan akta lompat parti, yang ketiga kita lihat Umno mempunya akur janji dan perjanjian mereka sendiri apabila ahli Parlimen mereka keluar seumpanya mereka kena bayar RM100 juta tak mungkin itu dilakukan oleh ahli Parlimen (Umno)," katanya.
Jelasnya RM100 juta adalah satu jumlah yang besar dan tiada wakil rakyat yang mahu menunjukkan mereka mempunyai wang sebanyak itu semata-mata untuk berpaling tadah dari kerajaan.
“Apatah lagi jika gerakan mereka berpaling tadah tidak berjaya ia akan menyebabkan masa depan politik mereka itu semakin gelap,” tambahnya.
Bagi penganalisis politik dan geostrategis Dr Azmi Hassan pula, Langkah Dubai sebenarnya digerakkan oleh pemimpin Umno yang anti kepada kepimpinan presiden Umno.
"Langkah ini tak logik, dalam keadaan sekarang Bersatu ahli Parlimen sendiri pun tak nak sokong.
“Kalau kata langkah ini berpunca dari PAS juga tidak, kerana PAS tidak akan memulakan sesuatu dalam hal pertukaran kerajaan Persekutuan.
"Tapi apa yang saya dapat baca, ura-ura siapa yang ada di sana adalah dari ahli Umno sendiri yang selama ini tidak sealiran dengan presiden Umno sendiri," katanya kepada Malaysiakini.
Jelas Azmi agak bingung memikirkan langkah yang diambil kumpulan itu kerana mereka sedar sukar untuk berbuat demikian kerana telah ada perjanjian dimeterai dengan parti.