Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang kuat nafi Mahathir di sebalik Langkah Dubai

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak terbabit dengan Langkah Dubai yang tidak wujud, kata orang kuatnya, Khairuddin Abu Hassan.

Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu itu berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai Langkah Dubai yang didakwanya dicipta oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

"Sesungguhnya, kami tidak tahu menahu tentang 'Langkah Dubai' yang pada hakikatnya tidak pernah wujud tetapi diciptakan demi agenda politik presiden Umno.

Khairuddin Abu Hassan

"Bagaimana nak tuduh kononnya Tun M (Mahathir) terlibat dengan 'Langkah Dubai' di mana perkara tersebut tidak pernah wujud.

"'Langkah Dubai' adalah satu imaginasi liar yang berbentuk ilusi tanpa asas kebenaran. 

"Ini semua cerita dongeng yang direka untuk memulihkan kekuatan kedudukan presiden Umno semata-mata," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Khairuddin diminta mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan Dr Mahathir dengan gerakan menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Semalam, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan memang wujud gerakan mahu menjatuhkan kerajaan - digelar 'Langkah Dubai' - seperti dilaporkan beberapa hari lalu.

Ahmad Zahid Hamidi

Bahkan Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa gerakan berkenaan bukan saja didalangi pemimpin dari parti pembangkang bahkan turut disertai individu tertentu dari blok kerajaan.

Kata Ahmad Zahid, dia menerima laporan perisikan berkaitan gerakan itu sebaik sahaja individu terbabit tiba dilokasi yang dilaporkan, serta selepas mereka selesai mengadakan pertemuan.

Bagaimanapun Anwar memilih untuk tidak 'mengambil pusing' mengenai rancangan sulit yang dinamakan 'Langkah Dubai' untuk menggulingkan kerajaannya baru-baru ini

Sambil mengakui menyedari rancangan seumpama itu, dia sebaliknya berkata, tumpuan kerajaan adalah untuk membangunkan negara.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata buat masa ini Dr Mahathir tidak terbabit dengan politik kepartian, sebaliknya memberi fokus kepada usaha menyatukan orang Melayu.

"Tun M hanya mahu memperkasakan semula kedudukan orang-orang Melayu tanpa mengganggu-gugat hak-hak bangsa lain sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan.

"Dalam erti kata yang lain, Tun M ingin menebus semula maruah Melayu agar dihormati oleh semua pihak baik di dalam mahupun luar negara.

"Sebab itulah Tun M tidak mahu menganggotai sebagai ahli dalam mana-mana parti-parti politik," katanya.

Jelasnya, Dr Mahathir mahu menumpukan dalam bidang pembangunan ekonomi khususnya membantu memajukan negeri di bawah SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS