Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: Analisis Langkah Dubai cetek, J-Kom wajar dirombak
Diterbitkan:  Jan 3, 2024 12:55 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Ahli Majlis Kerja tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menggesa Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dirombak secara menyeluruh selepas isu 'Langkah Dubai' menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil sikap defensif.

Mohd Puad turut mempersoalkan motif Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Ismail Yusop menimbulkan isu berkenaan yang disifatkannya sebagai “analisis cetek”.

"Apa keperluan timbalan KP J-Kom mainkan isu Langkah Dubai? Kata premier Sarawak, cerita Langkah Dubai adalah cerita 'paloi'(bodoh).

"Analisis Ismail Yusop itu cetek. Ia mengakibatkan kerajaan pula jadi defensif kerana beberapa nama dalam kerajaan disebut.

"Lebih sesuai J-Kom fokus naratif kerajaan tebuk atap musibah dan tidak akan tercapai. (Ahli MKT Umno) Ahmad Maslan kata fatamorgana (khayalan)" katanya dalam hantaran di Facebook.

Mohd Puad menambah, imej J-Kom semakin merudum selepas timbul isu kontroversi membabitkan rakaman perbualan bekas ketua pengarahnya, Mohammad Agus Yusof dan kakitangan agensi itu Abdul Wahab Abd Kader Jailani, beberapa bulan lalu.

Justeru katanya, J-Kom perlu dijenamakan semula secara menyeluruh bagi menambah keyakinan orang ramai.

"Maka amat wajar J-Kom dirombak secara menyeluruh, rebranding total dan dipimpin oleh mereka yang lebih kompeten," tambahnya lagi.

Kenyataan Mohd Puad itu bagaimanapun bercanggah dengan Ahmad Zahid yang mengesahkan wujud gerakan untuk menjatuhkan kerajaan yang dikenali Langkah Dubai.

Semalam, Ahmad Zahid mendakwa gerakan berkenaan bukan saja didalangi pemimpin dari parti pembangkang bahkan turut disertai individu tertentu dari blok kerajaan.

Kata Ahmad Zahid, dia menerima laporan perisikan berkaitan gerakan itu sebaik sahaja individu terbabit tiba dilokasi yang dilaporkan, serta selepas mereka selesai mengadakan pertemuan.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memilih untuk tidak menghiraukan rancangan sulit berkenaan.

Meskipun mengakui menyedari rancangan seumpama itu, Anwar berkata, tumpuan kerajaan kini adalah untuk membangunkan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS