Angka kematian di wilayah Ishikawa meningkat kepada 48 orang setakat 3.30 petang waktu tempatan selepas siri gempa bumi kuat melanda tengah Jepun dan kawasan sekitar pada Isnin, Xinhua memetik laporan penyiar kebangsaan NHK pada Selasa.
Ramai orang dilaporkan cedera di wilayah Ishikawa, Niigata, Fukui, Toyama dan Gifu.
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dalam sidang media pada Selasa berkata bahawa usaha bantuan terhalang akibat halangan di jalan raya.
"Ini juga menyukarkan penghantaran jentera berat. Kami sedang memikirkan kaedah bersesuaian dan menggunakan kapal mungkin menjadi antara pilihan," katanya.
Beberapa siri gempa bumi kuat dengan terbesar berukuran 7.6 pada skala Richter melanda Semenanjung Noto di wilayah Ishikawa pada Isnin.
Agensi Meteorologi Jepun secara rasmi menamakannya Gempa Bumi Semenanjung Noto 2024.
Agensi itu telah menarik balik semua amaran tsunami di sepanjang Laut Jepun, namun memberi amaran gegaran susulan yang kuat mungkin berlaku pada minggu seterusnya terutamanya dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang.
Sejak Isnin, Jepun telah dilanda sekurang-kurangnya 155 siri gempa bumi.
-Bernama