Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KES 1MDB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas perdana menteri Najib Razak menerima rasuah berjumlah AS$681 juta dalam akaun banknya, yang digunakan untuk membeli undi pada PRU13 pada 2013.

Pegawai penyiasat SPRM Nur Aida Arifin ketika memberi keterangan berkata, hal itu adalah maklumat yang terkandung dalam satu laporan yang dibuat pada 4 Mei 2015.

"Laporan menyatakan yang maklumat diterima bahawa pada 2013, perdana menteri ketika itu Najib Razak menerusi akaun di AmBank Berhad (yang dipanggil) AmPrivate Banking 694 menerima wang sekurang-kurangnya AS$681 juta daripada Tanore Corporation menerusi Falcon Private Bank Singapura.

"Disyaki wang itu adalah rasuah yang digunakan Najib untuk membeli undi menjelang PRU13.

"Laporan itu dibuat untuk siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. Laporan itu ditulis oleh pembantu penguatkuasa kanan Hanif Awaludin," kata Nur Aida ketika perbicaraan kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.27 bilion terhadap Najib.

Perlu dinyatakan yang banyak bahagian dalam keterangan saksi Nur Aida sebanyak 95 halaman mendapat bantahan ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah atas dasar khabar angin, dan mahkamah mengambil maklum berkenaan bantahan itu sebelum membenarkan saksi meneruskan keterangannya.

Nur Aida juga memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah yang satu lagi laporan dibuat pada 17 Mei 2018, berkenaan maklumat yang Najib menerima dana awam berjumlah RM3.217 bilion, yang merupakan wang pelaburan 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata secara keseluruhan, lebih RM3.63 bilion diletakkan dalam akaun 694 Najib serta akaun 880 secara empat peringkat, antara 2011 hingga 2013.

Keterangan Nur Aida bertujuan menyokong keterangan yang dibuat penganalisis Bank Negara Adam Ariff Mohd Roslan sebelum ini, yang antara lain berkata Najib menerima kira-kira RM2.27 bilion dana 1MDB pada 2011 hingga 2014.

Adam berkata pengalihan dana itu dibuat dalam empat fasa, iaitu fasa Good Star, fasa Aabar-BVI, fasa Tanore dan fasa option buyback.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS