Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mempersoalkan data berkaitan pembabitan kontraktor bumiputera dalam projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 10 Dis lalu.
Naib Presiden PKMM, Abd Gapar Lambak, mendakwa kontraktor kecil bumiputera yang juga ahli PKMM Pahang seolah terpinggir dan hanya mampu 'melihat dari jauh' projek itu.
Hal itu kerana, katanya, kontraktor tempatan tidak diberi ruang dan kesempatan secukupnya.
"Pihak terlibat dalam pembinaan ECRL seolah-olah hanya melepaskan batuk di tangga dalam memastikan penyertaan kontraktor bumiputera tempatan.
"Walaupun pada permulaan projek tersebut pihak MRL (Malaysia Rail Link Sdn Bhd) cuba memberi peluang kepada kontraktor bumiputera, tetapi peluang itu tidak dapat mencapai matlamat kerana kekangan syarat begitu ketat dan harga tawaran yang rendah.
"Lebih menyulitkan lagi, kedudukan MRL itu sendiri yang tidak mempunyai kuasa penuh dalam projek ECRL, khususnya dalam pengagihan projek," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, di Kuantan.
Loke ketika berucap pada Perasmian pemasangan landasan pertama ECRL di Gebeng berkata sebanyak RM2.59 bilion atau 74 peratus daripada sasaran RM3.5 bilion bagi kerja sivil ECRL sudah diberikan kepada kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera.
MRL adalah syarikat bertujuan khas dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan dan pemilik projek serta aset ECRL.
China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pula syarikat kontraktor pembinaan dan pentauliahan yang mengetuai projek ECRL.
Abd Gapar yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang menjelaskan walaupun terdapat kontraktor bumiputera berjaya melepasi syarat prakelayakan dan mengemukakan harga tawaran dengan mengikut jadual kadar kerja disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR), kebanyakannya kecewa dan gagal memperolehi projek seperti diharapkan.
Sukar jadi kenyataan
Katanya, tiada sebarang alasan diberikan atas kegagalan tersebut selain tiada senarai ranking tender disediakan untuk dianalisis hingga menyebabkan peluang untuk menyertai projek bernilai berbilion ringgit itu terlepas begitu sahaja.
"Justeru amat mengejutkan apabila Loke mengumumkan sebanyak RM2.49 bilion projek ECRL telah dilaksanakan oleh kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera.
"Kami (PKMM) mengesa MRL memberikan perincian yang jelas kerana angka ini meragukan.
"Bahkan ketika seminar dihadiri kira-kira 400 ahli PKMM Pahang di Maran pada 26 Dis lalu, ketika ditanya kepada mereka kalau ada menerima tawaran kontrak untuk ECRL, hampir semua mengakui tidak terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam projek itu.
"Perkara ini sudah tentu mengecewakan kerana banyak peluang dan projek sepatutnya diberikan kepada kontraktor di Pahang, memandangkan negeri ini adalah antara laluan penting dalam projek berkenaan," katanya lagi.
Sementara itu dia menyambut baik pengumuman Loke mengenai inisiatif dan kerjasama dengan kerajaan Pahang untuk menyenarai pendek kontraktor kelas G1 dan G2 untuk diberi peluang dengan skop kerja bersesuaian.
Katanya, ia adalah satu langkah yang rasional walaupun sukar untuk dijadikan kenyataan kerana kuota bumiputera sudah 74 peratus dilaksanakan.
"Namun begitu, seandainya benar dan masih berkesempatan untuk insiatif begini (dilaksanakan), PKMM mohon dilibatkan dalam projek berkaitan ECRL dan menjadikan PKMM sebagai rakan strategik supaya pengagihan (projek) dapat dilakukan dengan lebih telus.
"Kejayaan projek ini harus dinilai dari semua aspek, bukan hanya atas kertas malah realiti pelaksanaannya harus diberikan keutamaan agar agenda bumiputera, khususnya kontraktor tempatan, terbela dan mendapat manfaat.
"Sebagai contoh, Felda Global Ventures (FGV) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) sudah lama menjadikan kami (PKMM) sebagai rakan strategik mereka.
"Begitu juga dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, kalau boleh contohi pendekatan dilakukan FGV dan Paip supaya kontraktor tempatan, terutamanya Bumiputera diberi peluang menyertai projek seumpama ini," katanya.