Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada alasan' McDonald's saman gerakan boikot - BDS
Diterbitkan:  Jan 1, 2024 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Sebuah kumpulan yang menyokong boikot terhadap jenama antarabangsa utama sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel ke atas Gaza berkata McDonald's Malaysia tidak mempunyai alasan untuk memfailkan saman terhadap pergerakan mereka.

Pengerusi Boycott, Divestment, Sanctions (BDS Movement) Malaysia Mohd Nazari Ismail berkata ini kerana kumpulan itu tidak secara langsung berkempen menentang gergasi rantaian makanan segera itu, sebaliknya hanya menyokong boikot yang dimulakan oleh rakyat Malaysia sendiri.

"Jika anda lihat laman web BDS Malaysia, kami tidak berkempen untuk boikot ini.

“Rakyat Malaysia yang memboikotnya," kata Nazari kepada pemberita di Kuala Lumpur malam tadi ketika dia menyertai himpunan terakhir piket Solidariti Palestin.

Nazari berkata pelbagai pihak telah menghubungi BDS untuk mendapatkan sokongan, kemarahan mereka sebahagiannya didorong oleh dakwaan McDonald's menaja makanan untuk angkatan tentera Israel.

Selanjutnya, dia berkata BDS akan mengkaji untuk mengadakan kempen mengumpul dana bagi menampung kos guaman yang berkaitan dengan saman RM6 juta itu.

"Kami akan membincangkan perkara ini dengan peguam kami terlebih dahulu," katanya.

Pada Jumaat, BDS Malaysia berkata McDonald's Malaysia menyaman organisasi itu kerana didakwa memfitnah syarikat berkenaan.

Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR), pemilik francais McDonald's di Malaysia, menuntut jumlah kerugian hasil (RM3 juta), pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta), dan tamat tempoh bahan (RM1. 5 juta).

Dalam pernyataan tuntutannya, GAR berkata syarikat itu 100 peratus dimiliki oleh orang Islam dan 55 peratus daripada pelanggannya juga beragama Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS