Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahmoud Abbas: Palestin berdepan perang genosid Israel
Diterbitkan:  Jan 1, 2024 11:51 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Rakyat Palestin menghadapi satu "perang genosid" di tengah-tengah serangan Israel di Semenanjung Gaza, kata Presiden Mahmoud Abbas pada Ahad.

Beliau berkata ‘perang genosid’ Israel itu tidak akan meruntuhkan tekad Palestin menubuhkan sebuah negara yang merdeka.

“Kami akan berpegang teguh pada tanah kami dan meneruskan perjuangan sehingga kami mencapai kemenangan dan kemerdekaan,” katanya dalam ucapan sempena ulang tahun ke-59 revolusi Palestin.

Pemimpin Palestin itu menegaskan wilayah Tebing Barat dan Semenanjung Gaza adalah satu unit geografi yang tidak boleh dipisahkan.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Beliau turut menggesa perang Israel di Semenanjung Gaza dihentikan dan penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu dipercepatkan.

“Satu-satunya cara ialah mencari penyelesaian politik berdasarkan resolusi legitimasi antarabangsa dengan mengadakan persidangan damai antarabangsa yang menamatkan pendudukan Israel di semua wilayah Negara Palestin, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya dan kepulangan pelarian mengikut Resolusi PBB 194," kata Abbas.

Menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza, serangan Israel sejak 7 Okt membunuh sekurang-kurangnya 21,822 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala 56,451 lagi cedera.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS