TV Sarawak (TVS) bercadang untuk membuka pejabat baru di Sibu, Bintulu, Miri serta Kuala Lumpur menjelang suku pertama tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif TVS Kushairi Abang.
Menurutnya stesen televisyen milik kerajaan Sarawak itu juga akan memperluas kerjasama dengan media nasional dan antarabangsa pada tahun depan.
“Kami sedang mengatur langkah untuk bekerjasama dengan TV AlHijrah dan Astro Warna.
"Kami juga telah menghantar cadangan memorandum persefahaman (MoU) dengan Radio Television Brunei dan ini mungkin akan dimuktamadkan pada Feb nanti.
“Selain itu, TVS juga sedang melihat peluang untuk bekerjasama dengan media di Indonesia,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran logo baru stesen TV itu di Kuching hari ini.
Kushairi berkata antara objektif utama kerjasama dengan media lain di seluruh dunia adalah untuk mempromosikan Sarawak ke peringkat global.
“Keutamaan TVS adalah untuk membawa kandungan kami ke luar, dan bukan setakat menjadikan Sarawakian sahaja sebagai penonton.
"Oleh sebab itu juga kami mahu rombak media sosial TVS supaya mampu mencapai ke luar dari Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Kushairi berkata TVS juga sedang bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam peristiwa-peristiwa besar tahun depan dengan tumpuan khusus pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
“Perbincangan aktif dengan RTM sedang berjalan untuk kerjasama bagi penyiaran Sukma, menunjukkan komitmen stesen ini kepada acara-acara penting.
"Selain itu, TVS berazam untuk mengambil bahagian dalam acara-acara penting lain yang dianjurkan oleh kerajaan Sarawak dan Persekutuan,” katanya.
- Bernama