Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langkah Dubai cuma fatamorgana, kata Ahmad
Diterbitkan:  Dec 31, 2023 10:11 AM
Dikemaskini: 4:28 AM

Seorang pemimpin Umno menganggap dakwaan berlaku gerakan terancang untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan sebagai "fatamorgana" dan seolah-olah mustahil berlaku.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan berkata semua 30 ahli parlimen BN sudah menandatangani ikrar akan membayar RM100 juta jika mereka melompat parti.

"Langkah Dubai? Ini hanya fatamorgana.

"Untuk 30 MP (ahli parlimen) Umno/BN, kami sudah tandatangan (perjanjian) kena bayar RM100 juta seorang jika ingin melompat (parti)," ciapnya di X pagi ini.

Semalam BH Online melaporkan wujud perancangan pihak pembangkang - dan disertai segelintir pemimpin dari parti kerajaan - untuk sekali lagi menjatuhkan kerajaan di luar pilihan raya.

Kali pertama langkah itu dibuat ialah pada Feb 2020 dan menyaksikan PH tumbang di sebalik mandat yang diterima mereka daripada rakyat melalui PRU ke-14.

Memetik kenyataan pegawai kanan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), portal berita itu mendakwa perancangan 'Langkah Dubai' berkenaan dilakukan sewaktu pemimpin PN bercuti di Dubai baru-baru ini.

Ada 'pegawai' tertentu dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli parlimen yang berpotensi mengalih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan.

Selain pemimpin PN, didakwa ada juga tokoh politik veteran dan berpangkat Tun bersekongkol dengan cubaan tersebut.

Baik tumpu masalah rakyat

Ahmad berkata selain ahli parlimen BN tidak memiliki wang sebanyak RM100 juta, kedudukan kerajaan ketika ini adalah kukuh dengan sokongan besar ahli parlimen kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Siapa MP yang ada wang sebanyak itu? Jika 30 keluar pun, kerajaan masih kekal dengan 122 sokongan. (147+5-30)," ciap bekas Setiausaha Agung Umno itu lagi dengan merujuk kepada 147 ahli parlimen kerajaan serta lima ahli parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan baru-baru ini.

Sementara itu PAS pula mempertikaikan dakwaan J-Kom dan secara sinis berpendapat lebih wajar dibangkitkan 'Langkah Mekah' berbanding 'Langkah Dubai'.

Hal itu kerana, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, lebih ramai pemimpin politik berkunjung ke Tanah Suci itu untuk mengerjakan ibadah berbanding ke Dubai.

"Kerajaan sudah memiliki majoriti dua per tiga, apa hendak dibimbangkan?

"Kalau diikutkan, pemimpin ke Makkah lagi ramai, terutama pada musim cuti (sekolah) ini tetapi tidak ada pula ditimbulkan Langkah Mekah," katanya yang dipetik BH Online.

Tuan Ibrahim juga berpendapat dakwaan tersebut adalah rekaan semata-mata.

"Ia hanya akan menimbulkan pelbagai spekulasi. Lebih baik memberi tumpuan kepada permasalahan rakyat, malah banjir pun belum selesai lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS