Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno anggap cadangan Ngeh tak berpijak di bumi nyata
Diterbitkan:  Dec 29, 2023 12:51 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Tiada keperluan untuk melantik pakar bukan Islam menganggotai jawatankuasa mengkaji bidang kuasa mahkamah syariah menurut Perlembagaan Persekutuan, kata Umno.

Setiausaha agungnya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kenyataan dibuat Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham semalam adalah tidak perlu bahkan boleh mencetuskan polemik, selain tidak berpijak di bumi nyata.

"Sejak merdeka, mahkamah syariah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam, malah proses menambah baik dan menaik taraf institusi itu dilakukan Umno sentiasa dibuat secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

"Sepanjang proses menaik taraf itu - baik dari segi pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim dan pegawai mahkamah syariah, bentuk dan tahap hukuman yang diperuntukkan - ia tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ngeh menyarankan kerajaan melantik pakar daripada kalangan bukan Islam untuk membantu jawatankuasa khas bagi mengkaji kompetensi dewan undangan negeri menggubal undang-Undang Islam.

Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pada awal bulan ini.

Ahli parlimen dari DAP itu dipetik berkata, cadangan tersebut dibuat bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Ngeh turut mengingatkan perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, justeru sebarang perubahan mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Asyraf Wajdi berkata, jawatankuasa itu membuat kajian berdasarkan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-raja Melayu sebagai pelindung Islam di negara ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan sentiasa mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini.

"Justeru, berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-raja Melayu untuk menentukan panel-panel yang bakal menganggotai jawatankuasa ini kelak.

"Tentunya Raja-raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan jawatankuasa ini," katanya.

Sementara itu PAS pula secara sinis menyindir cadangan Ngeh dengan menganggap, tidak mustahil selepas ini DAP akan meminta untuk menganggotai jawatankuasa fatwa.

"Tak mustahil tengok anak bulan juga nanti kena ada pakar dalam kalangan mereka (bukan Islam) juga.

"Itulah, setapak demi setapak, lontar kenyataan dulu, tengok reaksi, lama-kelamaan normalisasi," kata ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS