Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Anis Rizana Zainudin berkata pertukaran antara negeri bagi pegawai kastam dilaksanakan berdasarkan peraturan dan garis panduan.
Ini selepas Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) mendakwa ramai pegawai telah ditukarkan ke negeri lain secara paksa, susulan pelantikan Anis ke jawatan ketua pengarah JKDM pada 25 Sept.
Bagaimanapun Anis berkata arahan yang dikeluarkan untuk pertukaran pegawai adalah selaras dengan polisi Perintah Pelantikan Tetap Jabatan No.78 bertarikh 10 Ogos - sebulan sebelum pelantikannya.
"Arahan penempatan dan pertukaran pegawai adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh JKDM iaitu Perintah Tetap Perjawatan Bil.78 – Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM bertarikh 10 Ogos 2023 dan kaedah pelantikan pegawai dalam perkhidmatan awam dan urusan – urusan lain berkaitan pelantikan di bawah Ceraian UP.2.2.1 (Panduan Pertukaran Pegawai) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa pada 1 Januari 2022.
"Selain itu, tertakluk di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019–2023 (Semakan Semula Separuh Penggal)," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Anis merujuk objektif ke arah tadbir urus baik melibatkan insiatif mengukuhkan mekanisme dalam menguatkuasakan “pusingan kerja secara mandatori kepada penjawat awam yang memegang jawatan sensitif.”
"Pertukaran dapat membantu memperkayakan dan memperluaskan tugas (job enrichment and job enlargement) kepada pegawai dan boleh menyumbang ke arah menambah serta mempelbagaikan pengalaman, pendedahan dan proses pembelajaran di kalangan pegawai terlibat yang mana proses ini amat berguna untuk kemajuan kerjaya mereka.
“(Ia bagi) peningkatan produktiviti seseorang pegawai dan seterusnya organisasi tempat mereka berkhidmat.
"(Ini juga) membolehkan pegawai melihat organisasi di mana mereka ditempatkan dari perspektif yang berbeza dan dengan itu mereka diharap dapat mencuba pendekatan baru yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi; dan mencegah sebarang kemungkinan berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Kata Anis lagi, JKDM membenarkan menggantung sementara pertukaran mengikut permintaan, dan sehingga kini, beberapa pemindahan telah digantung atas sebab berkaitan keluarga, kesihatan dan pendidikan anak-anak.
Awal hari ini, Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Abdul Malik Mohamed Zin mendakwa ratusan pegawai telah menjadi mangsa pertukaran rentas negeri.
KPKSM dakwa manipulasi kuasa
Dia dilaporkan berkata arahan pertukaran itu dibuat tanpa mengambil kira kebajikan pegawai dan tiada rayuan dibenarkan dibuat.
Abdul Malik juga mendakwa Anis cuba memecahbelahkan KPKSM dengan mengarahkan dirinya ditukar dari Perak ke Lawas di Sarawak.
"Ketua pengarah memberi arahan secara lisan kepada pengarah kastam negeri Perak yang mana negeri saya bertugas untuk diambil tindakan disiplin berkaitan kesalahan berkaitan integriti.
"Apabila tiada tindakan yang diambil disebabkan tidak berlaku apa-apa kesalahan, satu arahan pertukaran penempatan dikeluarkan pada 11 Disember 2023 yang menukarkan Presiden KPKSM dari JKDM Perak ke JKDM Lawas di Sarawak berkuat kuasa 2 Januari 2024 dengan alasan sudah lama bertugas di JKDM.
"Ini adalah satu usaha untuk memecah belahkan KPKSM, kita juga lihat ia adalah manipulasi kuasa," katanya pada sidang media di pejabat kesatuan itu, di Kuala Lumpur.