Kumpulan peniaga Melayu tempatan tampil berkongsi bantahan terhadap cadangan menghidupkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti diajukan pemimpin DAP Tan Kok Wai.
Ketua Penerangan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia Mohamad Abdullah berkata satu sesi libat urus akan ditetapkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa untuk menyuarakan bantahan mereka.
"Kita akan adakan lawatan ke atas menteri wilayah persekutuan, buat libat urus untuk kunjungi beliau dan menyuarakan perkara ni.
"Insyallah, kita akan bawa isu ni ke semua negeri," kata Mohamad (atas, tengah) dalam sidang media di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Turut hadir ialah wakil daripada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia serta Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan.
Pada 17 Dis, Tan, yang juga Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, mencadangkan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan, bermula dengan Kuala Lumpur, untuk memberi rakyat tempatan suara demokratik dalam cara ibu kota itu dikendalikan.
Cadangan itu disambut dengan bantahan termasuk dari Umno, PAS, dan Bersatu - yang berhujah bahawa pilihan raya kerajaan tempatan akan mengakibatkan ketegangan kaum kerana "dominasi" DAP dalam pemilihan tersebut.
Zaliha, pada 19 Dis, berkata perbincangan mengenai cadangan untuk mengembalikan pilihan raya PBT akan diadakan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Free Malaysia Today memetik Zaliha sebagai mengulangi pandangannya bahawa terdapat perkara lain yang perlu diutamakan, tetapi menambah dia tidak menolak kepentingan pilihan raya sedemikian.
Bagaimanapun, Nga dilaporkan berkata hari ini bahawa pemilihan PBT bukanlah keutamaan kementeriannya buat masa ini. Sebaliknya, dia berkata tumpuan harus diberikan kepada kesejahteraan rakyat.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Mohamad menyelar cadangan Tan itu sebagai membuang masa dan wang.
"Dah ada ahli parlimen yang akan bekerja untuk suarakan masalah rakyat. Tak perlu ada pilihan raya PBT untuk lantik ketua. Kita ada juga persatuan oenduduk yang bantu ahli parlimen untuk suarakan pandangan rakayat.
"Kalau bawah skop PBT, ada ahli majlis di setiap PBT. Tak perlu adakan pilihan raya PBT. Ada lembaga penasihat. Di bandaraya, setiap parlimen ada lembaga penasihat," katanya.
Mohamad, yang juga Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, berkata kumpulan peniaga Melayu itu berpendapat pilihan raya PBT akan bertentangan dengan prinsip kelima Rukun Negara – kesopanan dan kesusilaan.
“(Pilihan raya PBT) sebabkan kekeliruan dan kegelisahan. Tak berapa selesa. Kalau ada pilihan raya, kita yakin ratanya suatu kaum yang duduk kat situ akan menang," katanya.
Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya majlis tempatan ialah pada tahun 1963. Pusingan seterusnya, yang sepatutnya diadakan pada tahun berikutnya, telah digantung.
Penggantungan sementara itu menjadi kekal pada 1976, apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan menyebabkan pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan sama sekali dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis tempatan.