Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shivaani utus surat mohon bantuan PM dibenarkan ke sekolah

"Saya minta tolong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim benar saya pergi ke sekolah tahun depan".

Demikian antara kandungan surat daripada seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang tanpa kewarganegaraan itu kepada perdana menteri.

Shivaani sebelum ini bersekolah sehingga darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pagi, Senawang.

Namun, pihak sekolah memberitahu keluarga pada sesi pembukaan sekolan Mac tahun ini bahawa Shivaani tidak dapat meneruskan darjah empat pada tahun depan kerana isu dokumentasi kewarganegaraan.

Dalam surat kepada perdana menteri yang dilihat Malaysiakini, Shivaani menulis: "Nama saya Shivaani. Saya belajar di Sekolah Kebangsaan Sri Pagi dari tahun 1 hingga 3. Tahun ini, saya tidak boleh pergi sekolah. Cikgu kata saya tidak ada MyKad.

"Saya minta tolong perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim benar saya pergi ke sekolah tahun depan. Terima kasih datuk seri."

Ketika dihubungi, Shivaani berkata dia tulis surat itu atas cadangan pakciknya.

"Pakcik saya kata perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh tolong saya pergi semula ke sekolah. Jadi, saya tulis surat.

"Saya nak pergi ke sekolah. Saya nak belajar. Saya juga rindu kawan-kawan saya," katanya.

Menurut P Rajheswaran, 44 yang memperkenalkan dirinya sebagai bapa Shivaani, anaknya mempunyai masalah dokumentasi kewarganegaraan.

Menurutnya, ini demikian kerana dia tidak mendaftar perkahwinannya.

"Setelah saya kahwin, saya tidak mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Setelah anak saya lahir pada tahun 2013, isteri saya berpisah dengan saya.

"Ketika saya cuba mendapat sijil kelahiran, pihak JPN berkata anak saya tidak dapat diberikan taraf kewarganegaraan kerana tidak ada maklumat ibu dan bapa.

"Nama saya juga tidak dapat dimasukkan sebagai bapa kerana perkahwinan kami tidak didaftar. Jadi, saya mengambil sijil kelahiran anak hanya sebagai pemaklum dan nama ibu sahaja diletak dalam sijil tanpa maklumat lain,” katanya.

Katanya, dia mengalami strok empat tahun yang lalu, yang menyukarkannya untuk keluar dari rumah bagi menguruskan masalah kewarganegaraan anaknya.

Ketika ditanya keputusan sekolah menafikan Shivaani hadir ke sekolah, Rajheswaran berkata, pada awalnya sekolah membenarkan anaknya untuk belajar.

"Bila saya daftar tahun 1, pihak sekolah kata anak saya tidak mempunyai kewarganegaraan maka perlu bayar RM120 setiap tahun untuk belajar.

"Saya pun bayar setiap tahun sehingga tahun 3. Tapi, bagi tahun ini, pihak sekolah kata mereka tidak dapat menerima anak saya ke sekolah kerana dasar baru KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia).

"Saya minta beberapa kawan saya untuk kembali anak saya ke sekolah. Tapi, sehingga kini dia dinafikan," katanya.

Ketika dihubungi, Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Bersatu P Manivanan berkata bahawa dia kini mengendalikan isu tersebut.

"Saya telah beberapa kali melawat keluarga itu dan menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ampangan.

"Saya diberitahu oleh seorang pegawai PPD itu bahawa dasar baru KPM membuatkan Shivaani dinafikan hadir ke sekolah.

"Soalannya, di sini jika anak itu mempunyai isu dokumentasi kenapa dibenarkan belajar sehingga Darjah 3 dan kemudian diminta jangan datang ke sekolah di bawah Kerajaan Madani?

“Saya cuba menghubungi pihak KPM beberapa kali, tapi gagal," katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk mendapatkan komen.

Berhubung surat ditulis kepada PM, Manivanan berkata ketika melawat Shivaani pada bulan November, dia bergurau bahawa dia kena tulis surat kepada perdana menteri untuk kembali ke sekolah.

"Nampaknya, anak itu serius dengan kata-kata saya. Dan baru-baru ini ketika saya ke rumah, dia memberi surat itu kepada saya dan minta panjangkan kepada perdana menteri.

"Saya tersentuh dengan surat itu. Dan saya beri surat itu kepada kawan-kawan dengan niat cuba sampaikan mesej ini kepada perdana menteri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS