Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LFL gesa bebaskan pekerja asing ditahan ketika cuba buat laporan polis
Diterbitkan:  Dec 27, 2023 3:57 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Kerajaan digesa membebaskan segera 171 pekerja asing dari Bangladesh, yang telah ditahan apabila mereka cuba membuat laporan polis terhadap ejen mereka.

Pekerja asing berkenaan telah diletakkan di bawah tahanan imigresen sejak 20 Dis lalu.

Pengarah NGO Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek berkata dia terkejut dengan penangkapan beramai-ramai pekerja asing itu kerana didakwa tinggal lebih masa di negara ini.

Katanya, ini kerana polis telah mengakui bahawa pekerja berkenaan memasuki negara secara sah dan hanya cuba membuat laporan polis terhadap ejen mereka.

Sekiranya pekerja asing berkenaan telah tinggal lebih masa, tegas Zaid ia akibat "rancangan ejen yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan eksploitasi."

Justeru, dia menggesa Putrajaya menggantung sebarang siasatan terhadap pekerja berkenaan kerana didakwa tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Walaupun kerajaan telah menyatakan bahawa mereka akan menyiasat ejen yang bertanggungjawab meletakkan 171 warga Bangladesh dalam kesusahan namun kenyataan ini sahaja tidak mencukupi.

“Faktanya jelas, pekerja asing tersebut telah ditipu dan kini terkandas di negara kita tanpa pekerjaan yang dijanjikan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Perintah perlindungan dari majistret

Zaid turut menegaskan pekerja asing tersebut merupakan mangsa pemerdagangan manusia berdasarkan Seksyen 2 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) maka dengan itu, mereka tidak boleh ditahan di depoh imigresen atau didakwa atas kesalahan berkaitan.

“Malah, mereka (pekerja asing itu) sepatutnya sudah dibawa ke majistret dalam tempoh 24 jam selepas penahanan mereka untuk diberi perintah perlindungan sementara dan sebaliknya ditempatkan di tempat perlindungan yang ditetapkan mengikut Seksyen 44 Atipsom.

“Tiada laporan bahawa proses ini telah dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Kegagalan untuk memulakan proses mendapatkan perintah perlindungan untuk migran menghalang mereka daripada diiktiraf sebagai orang yang diperdagangkan dan diberi imuniti daripada pendakwaan jenayah kerana tinggal lebih masa seperti yang ditentukan oleh Seksyen 25 Atipsom," katanya.

Kata Zaid lagi, penahanan dan penyiasatan berterusan ke atas migran tersebut atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen seakan mempersendakan sistem keadilan negara.

“Ejen pekerja yang eksploitatif kekal bebas manakala mangsa ditahan dan dilayan seperti penjenayah tanpa proses yang sewajarnya.

“Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) mesti memastikan pendatang asing ini, yang menjadi mangsa pemerdagangan, diberi perlindungan penuh yang disediakan di bawah Atipsom.”

Pada Isnin (25 Disember), Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora dilapor mengesahkan penangkapan pekerja tersebut.

Hussin dipetik The Star berkata kesemua pekerja itu dibawa masuk secara sah ke Malaysia tetapi ejen mereka masih belum memberikan sebarang kerja kepada mereka, selepas tiga bulan.

“Jadi warga Bangladesh itu memutuskan untuk berjalan kaki ke balai polis Bayu Damai, kira-kira 10km dari tempat penginapan mereka, untuk membuat laporan polis pada 20 Dis,” katanya.

Hussin berkata laporan polis kemudiannya dibuat terhadap kumpulan itu dan mereka kemudiannya ditahan oleh Jabatan Imigresen.

Dalam pada itu, Hussin menjelaskan pekerja terbabit tidak berjaya membuat laporan polis.

Beberapa jam selepas pengesahan Hussin, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pihak berkuasa akan memanggi agensi yang terlibat dalam pengambilan pekerja asing itu tetapi gagal mendapatkan mereka pekerjaan selepas tiga bulan di sini.

Sim memberitahu Malaysiakini siasatan lanjut akan dijalankan minggu ini ke atas agensi yang bertanggungjawab.

Pada masa sama, Sim berkata dia akan bertemu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk menambah baik dasar berkaitan pekerja asing.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said menggesa siasatan segera dijalankan terhadap mereka yang memperdayakan pekerja asing itu.

Azalina, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi), berkata pencabulan hak asasi manusia tidak boleh dibiarkan, termasuk dalam sektor perniagaan.

Insiden itu turut mendapat perhatian dua bekas ahli parlimen PH yang menggesa pihak imigresen supaya tidak mengenakan pertuduhan jenayah terhadap pekerja asing berkenaan.

Bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago menjelaskan dalam kes ini pendatang asing itu merupakan mangsa penipuan.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa berkata SPRM perlu segera menyiasat bagaimana ejen itu mendapat kelulusan Jabatan Imigresen untuk membawa masuk pekerja sedangkan tiada pekerjaan tersedia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS