Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Solidariti Palestin teruskan berkhemah, kepung kedutaan AS'

Bekas ahli parlimen Batu Tian Chua yang juga jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) berkata pihaknya akan terus mempertahankan khemah yang didirikan sebagai tanda bantahan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

Mulai malam tadi, penganjur bantahan berkata pengepungan simbolik terhadap kedutaan AS itu akan berlangsung selama enam hari.

Menurut Tian Chua, khemah itu dipasang sekitar jam 10 pagi tadi, meskipun terdapat nasihat daripada pihak polis dan notis Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak mendirikan sebarang struktur berhampiran kedutaan itu kerana menganggu kawasan awam.

Sementara itu, Tian Chua memaklumkan penganjur juga telah menyediakan aktiviti kebudayaan pada sebelah malam untuk para peserta.

“Sesiapa sahaja boleh datang ke sini pada bila-bila masa untuk menunjukkan solidariti.

"Bagi mereka yang berada di sini, kami juga mungkin pergi sebentar dan datang balik.

“Ia fleksibel, tetapi mesej utamanya jelas," katanya kepada Malaysiakini.

Malam tadi, penunjuk perasaan memasang lima khemah di tepi Jalan Tun Razak, di bawah jambatan pejalan kaki bertentangan bangunan The Icon Tower.

Tian Chua berkata mereka telah mematuhi arahan DBKL untuk membuka khemah itu, tetapi khemah yang ada sekarang dipasang sekali lagi kerana terdapat tanda-tanda hujan pada waktu subuh tadi.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid dipetik Bernama berkata bantahan yang diberi nama “Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin” itu tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan perhimpunan terbabit.

“Seandainya terdapat peserta yang mendirikan khemah, kita lihat nanti apa tindakan yang bakal diambil,” katanya yang mengesahkan peserta himpunan itu tidak diarah bersurai jika mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Jelas Allaudeen, pihak polis bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin namun mereka bertanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan perwakilan-perwakilan asing di negara ini.

“Kalau kita lihat ada kedutaan AS, Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kedutaan Jepun dan juga beberapa perwakilan asing berhampiran kawasan ini dan ia menjadi tanggungjawab PDRM,” katanya

Allaudeen berkata pihaknya telah menggerakkan sejumlah anggota dan pegawai bagi mengawal keadaan di lokasi himpunan itu dan setakat ini bilangan itu mencukupi.

Bilangan penunjuk perasaan di tapak dijangka berbeza sepanjang hari, dengan perhimpunan mega yang dirancang pada 31 Dis.

Kumpulan kolektif itu terdiri daripada 35 NGO, 15 kumpulan pelajar dan 13 parti politik.

Antaranya termasuklah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Sisters in Islam (SIS), Bersih, Pergerakan Pemuda Punjabi Malaysia, pelbagai sayap universiti parti politik, Muda, PSM, Pejuang, dan sayap pemuda PAS, PKR, Amanah, Bersatu, DAP, MCA dan Puteri Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS