Veteran Umno mempersoal peranan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam memberi penerangan mengenai hubungan antara parti dengan DAP sehingga menerima teguran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub, berkata dia mengambil maklum teguran perdana menteri supaya pemimpin parti itu kerap turun padang memberi penjelasan.
"Saya terkedu apabila PMX menasihati kepimpinan Umno supaya turun padang bagi menjelaskan hubungan dengan DAP. Kenapa biarkan orang lain bersuara sebegitu?
"Di mana ahli MKT yang ramai itu? Umno ada 191 bahagian.
"Tak boleh ke setiap ahli MKT ditugaskan untuk menjadi abang angkat atau bapak angkat atau atok angkat kepada beberapa bahagian untuk turun padang bagi menerangkan kekeliruan tentang hubungan Umno dan DAP?," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Semalam perdana menteri menasihati Umno untuk kerap turun padang bertemu dengan ahli akar umbi dan rakyat untuk memberi penjelasan berkenaan beberapa isu yang membelenggu parti itu terutama mengenai hubungan baik dengan DAP.
Pengerusi PH itu berkata perkara itu perlu dilakukan jika Umno mahu memulihkan parti itu yang kini dilihat sokongan yang diterimanya semakin merosot.
"Dia bukan benci Umno tetapi di kalangan penyokong Umno, dia kata Umno ni telah keluar landasan kerana kerjasama dengan DAP.
“Sentimen menentang DAP memang kukuh dan kuat di kalangan saya kira orang-orang Melayu.
"Umno ni masalah dia kerana baik dengan DAP dan isu ni dia kena jelaskan kerana DAP itu mewakili majoriti etnik Cina," katanya pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di Putrajaya.
Sementara itu, Mustapha mengkritik ahli MKT yang dilihat lebih teruja untuk merebut tiket bertanding dalam pilihan raya berbanding bekerja bagi menarik sokongan rakyat kepada parti.
"Apakah mereka hanya mahu menjadi MKT sebagai tiket untuk bertanding dalam pilihan raya?. Bila parti kalah presiden disalahkan. Suruh presiden letak jawatan. Konon presiden yang bertanggungjawab.
"Sedangkan mereka tidak buat kerja. Masa semakin singkat. PRU16 akan diadakan dalam masa tiga hingga empat tahun lagi.
"Cawangan dan bahagian masih lagi pengsan akibat tumbukan TKO PRU15. Bila nak bangun," soalnya.
Mustapha menegaskan MKT Umno kena bertindak mulai sekarang dan tidak guna hanya sekadar berkonvensyen.
"Program tahunan berjumpa dan bertemu dikalangan AJK bahagian dan cawangan.
"Program hu ha hu ha. Program makan-makan. Habis program balik tidur," sindirnya.