mk-logo
Berita
Projek tebatan banjir tiada rasuah, kos susut kepada RM11.8b - Menteri
Diterbitkan:  Dec 21, 2023 1:35 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan dakwaan rasuah dalam pemberian projek tebatan banjir.

Dia berkata kos projek itu telah menyusut, bertentangan dengan dakwaan seorang pemimpin Bersatu bahawa kos projek telah meningkat kepada lebih RM16 bilion.

"Kerajaan ini telah menilai semula cadangan-cadangan projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi untuk memberikan keutamaan kepada kawasan-kawasan kritikal dengan siling peruntukan pembangunan keseluruhan 33 projek RTB yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan berjumlah RM11.8 bilion, bukan RM16.6 bilion," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan terdahulu memperuntukkan RM15 bilion untuk kerja-kerja tebatan banjir.

Bagaimanapun, pada November tahun lalu, pentadbiran semasa menghentikan kontrak bernilai RM7 untuk projek tebatan banjir yang didakwa diberikan melalui rundingan terus oleh kerajaan terdahulu.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin (gambar, atas) mendakwa terdapat sogokan besar dalam pemberian projek tebatan banjir itu, menyebabkan kos meningkat kepada RM16.6 bilion.

Nik Nazmi berkata dakwaan Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard itu fitnah yang "berniat jahat."

"Tuduhan Chegubard tidak berasas, dan menunjukkan beliau tidak memahami proses perolehan dan peruntukan belanjawan kerajaan," katanya.

Tambahnya, hampir semua projek tebatan banjir tahun ini masih melalui proses tender, dengan hanya 19 surat tawaran (LOA) yang telah dikeluarkan.

Nik Nazmi berkata belum ada perbelanjaan daripada peruntukan pembangunan berkenaan dan dia tidak terlibat proses perolehan.

Jelasnya lagi, projek tebatan banjir melalui proses perolehan telus yang diselia oleh Kementerian Kewangan dan Lembaga Perolehan.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah jahat itu dan akan mengambil tindakan sivil terhadap beliau (Badrul Hisham) tidak lama lagi," kata menteri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS