Mahkamah Majistret di Shah Alam, hari ini menolak pengakuan bersalah seorang perunding pengurusan acara sambilan atas pertuduhan menghendap seorang jurugambar wanita dengan menghantar gangguan berulang melalui tiga komunikasi akaun Twitter.
Majistret Sasha Diana Sabtu memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan pendakwaan terhadap pengakuan bersalah Mohamad Safiq Rosli, 37, yang dibuat sebelum ini.
Sasha Diana berkata mahkamah menolak pengakuan itu atas alasan terdapat isu berhubung ketidakwarasan yang dibangkitkan pihak pendakwaan.
"Pengakuan (bersalah) tertuduh tidak boleh diterima. Saya anggap ia minta bicara,” katanya.
Sasha Diana menetapkan 17 Jan tahun depan bagi perbicaraan kes itu. Tiga saksi pendakwaan akan memberi keterangan termasuk mangsa Acacia Mardiana Daud, 31, yang dijangka memberi keterangan melalui sidang video.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memohon untuk meneruskan kes itu dengan perbicaraan walaupun tertuduh telah mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan yang disifatkannya bersyarat.
Katanya, laporan psikiatri membuktikan tertuduh tidak waras ketika melakukan kesalahan itu, namun ia tidak mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu menyatakan tidak menjadi kesalahan apa jua yang dilakukan oleh seseorang pada masa melakukannya, akalnya tidak sempurna dan tidak berupaya mengetahui keadaan perbuatan itu atau apa yang dilakukannya sama ada salah atau bertentangan dengan undang-undang.
“Tertuduh perlu memenuhi faktor kewarasan mengikut undang-undang dan kewarasan dalam laporan perubatan untuk digunakan dalam pengakuan bersalah. Laporan perubatan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak hanya pemeriksaan kesihatan mengenai kewarasan, pemeriksaan kewarasan ikut undang-undang tidak terjawab.
“Satu-satunya cara untuk membuktikan kewarasan ikut undang-undang adalah dengan melalui perbicaraan penuh,” katanya.
Peguam Fithril Hakim Ab Jalil yang mewakili tertuduh berhujah keadilan tidak dapat ditegakkan jika anak guam dikekalkan dalam penjara berikutan keadaan mentalnya.
“Pihak pendakwaan tahu mengenai keadaan mental tertuduh ketika menyatakan kes ini perlu dibawa untuk perbicaraan. Anak guam akan terus berada dalam penjara dan tiada keadilan untuknya jika kekal di situ,” katanya.
Mohamad Safiq yang merupakan individu pertama didakwa atas kesalahan itu mengikut Seksyen 507A(1) Kanun Keseksaan, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan berkenaan ketika sebutan kesnya pada 15 Dis lepas.
Pada 10 Ogos dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengganggu Acacia Mardiana melalui aplikasi Twitter atas nama akaun "@sopert99" dengan menghantar komunikasi berbentuk luahan perasaannya di akaun Twitter milik mangsa "@ShaFoShizzle" yang telah dibaca di sebuah rumah di Shah Alam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 1.40 pagi 15 Julai dan 5.58 petang 21 Julai lepas sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa dan boleh dihukum mengikut Seksyen 507A(3) yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan
- Bernama