Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: K'jaan tak akan tunggang nama Melayu untuk halalkan Ali Baba
Diterbitkan:  Dec 20, 2023 12:03 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Kerajaan tidak akan "menunggang" orang Melayu hanya untuk memperkayakan segelintir pihak, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada desakan pembangkang mengenai agenda ekonomi bumiputera kerajaan.

"Saya faham lenggok pertanyaan mereka, konon untuk menunjukkan mereka membela Melayu.

"Ikut hati, saya ingin jawab mudah sahaja: Insya-Allah kami tidak akan menunggang nama Melayu untuk beberapa kerat rembat duit Jana Wibawa yang akhirnya di-Ali Baba-kan kepada syarikat bukan Melayu," katanya kata dalam catatan Facebook hari ini.

Program Jana Wibawa yang diperkenalkan oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini sepatutnya membantu kontraktor bumiputera mendapatkan pekerjaan semasa pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, ia bertukar menjadi skandal rasuah yang melibatkan beberapa pemimpin Bersatu.

“Ali Baba” ialah satu bentuk amalan mengutip sewa, dengan perniagaan yang memenangi projek dan kontrak kerajaan, mensubkontrakkan kerja sebenar kepada orang lain.

Rafizi berkata, semua kerajaan mendakwa mempunyai agenda ekonomi bumiputera.

Bagaimanapun, walaupun ada yang melihatnya semata-mata melalui kaca mata politik, Rafizi berkata keutamaannya adalah untuk meningkatkan sumbangan ekonomi bumiputera.

Ini kerana, katanya, walaupun terdapat bilangan perniagaan bumiputera yang besar, sumbangan ekonominya tidak seiring.

Menurut menteri itu, daripada lebih satu juta entiti perniagaan di negara ini, hanya tiga peratus adalah syarikat besar manakala dua peratus lagi adalah syarikat bersaiz sederhana.

Sekitar 15 peratus adalah syarikat kecil, manakala baki 80 peratus adalah perniagaan mikro.

Daripada jumlah itu, sekitar 95 peratus perniagaan berdaftar adalah operasi kecil dan mikro yang dikendalikan oleh bumiputera, katanya.

Justeru, dia berkata inilah sebabnya pendekatan baru diperlukan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera.

"Perniagaan bumiputra mestilah berdaya saing dan boleh berdiri sendiri. Program kerajaan perlu berhati-hati untuk mengelakkan pergantungan kepada bantuan kerajaan yang boleh mengikis daya saing," katanya.

Dia berkata daya saing dan kemandirian boleh dicapai dengan memberi tumpuan kepada 3P - 'product, problem, people' (produk, masalah, manusia).

Katanya, ini bermakna perniagaan perlu mencipta produk atau perkhidmatan untuk menyelesaikan masalah atau memenuhi keperluan pelanggan.

Dan ini boleh dilakukan dengan mempunyai orang yang mahir yang mampu mencipta produk tersebut.

Dengan berbuat demikian, katanya, tragedi Jana Wibawa dapat dielakkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS