Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kapal kibar bendera Israel tidak lagi boleh berlabuh di Malaysia'
Diterbitkan:  Dec 20, 2023 11:29 AM
Dikemaskini: 4:53 AM

Kerajaan hari ini ini mengumumkan beberapa sekatan ke atas kapal-kapal yang berpangkalan di Israel dan yang menuju ke negara Yahudi itu daripada berlabuh atau memuatkan muatan di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Antaranya, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, termasuk keputusan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM (ZIM Integrated Shipping Services Ltd) daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Katanya, sekatan itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.

“Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuat kuasa serta merta.

“Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia. Pada 2005, kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia.

“Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan kabinet lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arahan itu susulan rancangan kapal ZIM yang dijadual berlabuh di Pelabuhan Klang pada 26 Disember ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.

“Kerajaan Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

“Kedua-dua sekatan ini berkuatkuasa serta-merta,” katanya sambil menambah Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS