Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM, Petronas bawah Agong: Apa kata pakar undang-undang?

Cadangan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar SPRM dan Petronas melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong mendapat reaksi pelbagai pakar undang-undang.

Mereka yang tidak bersetuju dengan cadangan itu memetik Perlembagaan Persekutuan - yang menetapkan bahawa Agong hendaklah bertindak atas nasihat perdana menteri sebagai raja berperlembagaan.

Mengulas mengenai senario khusus yang dibangkitkan oleh bakal Yang di-Pertuan Agong itu berhubung SPRM dan Petronas, peguam Azira Aziz berkata agensi seumpama itu dan agensi berkaitan kerajaan lain hanya perlu bertanggungjawab kepada Parlimen.

Azira menegaskan bahawa banyak jawatankuasa pilihan khas memainkan peranan pengawasan yang penting dan menyediakan semak dan imbang, serta bentang laporan semasa persidangan Parlimen untuk tindakan diambil oleh kerajaan.

Dia menjelaskan bahawa rakyat boleh menulis surat kepada pengerusi jawatankuasa tersebut dan mencadangkan perkara yang menjadi kebimbangan untuk disiasat.

Azira Aziz

“Salah satu contoh ialah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang sebelum ini mengeluarkan laporannya mengenai 1MDB apabila terdapat kebimbangan mengenai kelakuan orang yang terlibat di dalamnya.

“Bentuk tindakan yang diambil oleh kerajaan hari ini, sudah tentu, bergantung kepada konsensus 222 Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

“Itu undang-undang perlembagaan. Tidak ada keperluan bagi raja yang memerintah untuk memainkan peranan tambahan melebihi apa yang telah dipersetujui melalui kontrak sosial,” katanya kepada Malaysiakini.

Sejak 2018, PAC telah diketuai oleh pembangkang untuk mengukuhkan peranan jawatankuasa itu dalam semak imbang terhadap kerajaan.

Dalam temu bual baru-baru ini dengan The Straits Times Singapura, Sultan Ibrahim (di atas) berkata kuasa diraja ke atas SPRM akan memastikan kebebasan suruhanjaya itu.

Sultan Johor itu berkata pengawasan ini juga perlu dilanjutkan kepada Petronas.

Peguam New Sin Yew berkongsi sentimen Azira, dengan berkata Agong tidak boleh memainkan peranan aktif dalam kerajaan dan "diheret dalam lumpur politik".

Walaupun Agong berhak mendapat banyak maklumat berkaitan kerajaan seperti yang termaktub dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, New berpendapat adalah agak berbeza untuk mengatakan bahawa agensi kerajaan mesti melaporkan terus kepada Agong.

New Sin Yew

“Jika sebagai contoh, skandal tercetus dalam SPRM atau Petronas, kita tidak mahu raja diseret ke dalamnya atau dipersoalkan.

“Sebagaimana norma demokrasi, kita telah memilih wakil rakyat dan kerajaan untuk melakukan ini. Jika berlaku sebarang kesilapan, rakyat boleh melakukan perubahan melalui peti undi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Konflik kepentingan

Bagaimanapun, pakar-pakar lain berpendapat bahawa saranan Sultan Ibrahim itu perlu diberi pertimbangan yang teliti.

Bekas presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata perdana menteri menggunakan kebijaksanaan untuk menerima dan mempertimbangkan permintaan Agong.

Raja, sebagai ketua tertinggi persekutuan di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, harus dibenarkan untuk menyiasat mengenai tadbir urus baik agensi kerajaan, tambah Salim.

Salim Bashir

“Ini pada asasnya akan memberikan keberkecualian, kebebasan dan semak dan imbang perusahaan komersial dan agensi penguatkuasaan berkaitan kerajaan untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, peguam Haniff Khatri Abdulla berkata adalah wajar mempertimbangkan cadangan Sultan Ibrahim untuk meletakkan agensi penguatkuasaan undang-undang di bawah institusi bebas - berasingan daripada eksekutif.

Bagaimanapun, Haniff menegaskan bahawa perlu dipastikan tidak ada kemungkinan konflik kepentingan.

Justeru, dia mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri dipinda bagi menghalang kerabat diraja daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mana-mana perniagaan.

Haniff Khatri Abdullah

“Ini bagi mengelakkan konflik kepentingan yang akan menjadi punca atau pencetus campur tangan tidak wajar terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang,” kata Haniff kepada Malaysiakini.

“Untuk melaksanakan ini, satu formula mesti diusahakan dan dilaksanakan mengikut perlembagaan, yang disediakan oleh Perbendaharaan daripada pendapatan tahunan kita (Keluaran Dalam Negara Kasar negara), untuk penyelenggaraan lengkap dan sewajarnya kerabat diraja kita.

“Ini supaya mereka tidak perlu terlibat dalam perniagaan untuk mengekalkan gaya hidup mereka,” tambahnya.

Sultan Ibrahim mempunyai banyak kepentingan perniagaan, dengan satu yang terkenal ialah Forest City di Johor.

Projek itu telah bergelut selama bertahun-tahun selepas China menyekat keupayaan rakyatnya untuk melabur di luar negara.

Sultan Ibrahim semasa temu bual dengan The Straits Times, mencadangkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur yang telah dibatalkan dihidupkan semula dengan melalui Forest City.

Selain kepentingannya dalam Forest City, baginda juga mempunyai kepentingan dalam dua projek penambakan laut utama di sepanjang Selat Melaka – Melaka Gateway dan Maharani Energy Gateway di luar pantai Muar, Johor.

Sultam Ibrahim akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya pada 31 Jan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS