Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang setuju dengan Dr M, sifatkan kejadian 'jarang berlaku'
Diterbitkan:  Dec 19, 2023 3:16 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Dalam kejadian yang disifatkan "jarang berlaku" Lim Kit Siang mendapati dirinya bersetuju dengan Dr Mahathir Mohamad.

Ini selepas Mahathir berkongsi pendapatnya mengenai perdebatan mengenai perdana menteri bukan Melayu, dengan berkata melainkan orang Melayu menerimanya, keadaan akan kekal status quo.

Lim, yang sedang disiasat polis kerana membangkitkan senario ini, mengulangi bahawa dia sendiri tidak menjangkakan seorang Cina Malaysia atau India Malaysia akan menjadi perdana menteri untuk 100 tahun akan datang.

“Tetapi adakah akan mengambil masa 100 tahun sebelum seorang Dayak atau Kadazan, untuk menjadi perdana menteri Malaysia?” soalnya.

Mahathir berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak merujuk kepada kaum atau agama berhubung individu yang boleh menjadi perdana menteri, dinamik perkauman akan menentukan kedudukan itu diterajui oleh seseorang daripada kaum majoriti.

“Di Singapura, perdana menteri sentiasa daripada majoriti kaum Cina sejak merdeka. Pulau Pinang tidak pernah mempunyai ketua menteri bukan Cina.

“Memandangkan keseimbangan kaum memihak kepada bukan Melayu, namun apabila Umno mempunyai bilangan kerusi terbanyak di bawah BN, ia memberi laluan kepada Gerakan.

“Jadi dengan cara yang sama, walaupun orang Melayu berpecah dari segi politik, mereka masih membentuk kaum majoriti. Sehingga dan melainkan majoriti Melayu merasakan mereka boleh menerima bukan Melayu sebagai perdana menteri, itu adalah status quo,” tambahnya.

Sementara itu, Lim kesal penjelasannya mengenai peruntukan perlembagaan berhubung perdana menteri kepada pelajar Malaysia di Manchester, England bulan lalu telah dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dia berkata ia dilakukan untuk “meningkatkan rasa takut dan tidak selamat orang Melayu tentang masa depan yang ditambah pula dengan penggunaan pembohongan, kepalsuan, berita palsu dan ucapan kebencian secara tidak bertanggungjawab dan tidak berprinsip dalam era media sosial, membuatkan orang Melayu merasakan bahawa seorang perdana menteri bukan Melayu sudah dekat”.

Antara yang menggunakan hujah itu adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen MachangWan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Ahmad Fayhsal menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS