Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mempersoalkan tindakan pembangkang yang terus membangkitkan isu pengagihan peruntukan kepada mereka.
Wan Rosdy berkata kerajaan negeri ada memberikan peruntukan kepada pembangkang walau tidak sama dengan wakil rakyat kerajaan.
"Pergi tanya dia pasal apa dok tanya pasal peruntukan, padahal kita dah bagi.
"Tapi tak boleh bagi sama dengan kerajaanlah, nama pun pembangkang bukan?" katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan kunci rumah kepada 15 nelayan di Kuantan, hari ini.
Pada 5 Disember lalu, ketua pembangkang Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan kerajaan negeri ada menyalurkan bantuan sempena Ramadan dan untuk pembangunan tetapi ia tidak seperti dititahkan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Sultan Abdullah.
"Dia (kerajaan Pahang) bagilah sikit (peruntukan) tapi ia bukanlah seperti dihasratkan Tuanku. Cadangan (titah) Tuanku supaya peruntukan kepada Adun pembangkang diberi sama rata sebagaimana Adun kerajaan.
"Pahang bagi dekat Ramadan RM5,000 dan baru-baru ini RM30,000 untuk projek di kawasan," katanya yang juga timbalan presiden PAS.
Isu tersebut sekali lagi dibangkitkan Adun Jengka yang juga Bendahari PAS Pahang Shahril Azman Abdul Halim pada 17 Disember lalu, yang turut membangkitkan titah Tengku Hassanal agar 'peruntukan yang adil' diberikan kepada Adun pembangkang.
Shahril Azman juga berpandangan lebih sesuai jika peruntukan diagihkan melalui wakil rakyat yang dipilih, bukannya melalui penyelaras DUN yang dilantik kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu kerajaan negeri tidak pernah bersikap pilih bulu dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.
"Macam rumah untuk nelayan inilah, siapa yang memerlukan bantuan, siapa yang layak dapat... dapat (bantuan), tak kiralah di kawasan mana sekali pun," katanya yang juga naib presiden Umno.
Kebanyakan penerima kunci rumah hari ini adalah nelayan yang tinggal di kawasan Tanjung Lumpur dan Beserah.
Adun bagi Tanjung Lumpur adalah Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar, manakala Adun Beserah pula adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu.