Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat Papagomo kes video bayangkan PM hidap Aids
Diterbitkan:  Dec 18, 2023 9:17 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Polis sedang menyiasat penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung video yang kelihatan membayangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghidap Aids.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata video bertajuk "DSAI Penyakit Misteri Tiada Penawar Aids,” memfitnah perdana menteri.

"PDRM mengingatkan orang ramai bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak-pihak yang menggunakan platform media sosial untuk mengulas atau memanipulasi isu-isu sehingga menyentuh isu ketenteraman awam, prinsip moral, fitnah atau pengapian apa-apa kesalahan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini tidak dapat memastikan kandungan video itu kerana halaman Youtube Wan Muhammad Azri dan rakaman berkenaan tidak lagi boleh diakses setakat ini.

Bagaimanapun, terdapat catatan oleh penulis blog itu, yang dikenali sebagai Papagomo dan kini Sir Azri, pada media sosial X yang mendakwa Anwar ‘dihukum’ kerana tuduhan homoseksual.

Anwar telah didakwa di mahkamah atas tuduhan liwat dua kali, tetapi sabitan dalam kes pertama dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004 manakala dia telah diberikan pengampunan penuh pada 2018 berikutan sabitan kedua.

Anwar, yang mengekalkan pengakuan tidak bersalah berkata pengampunan penuh itu diberikan kerana terdapat "pelanggaran prinsip keadilan" dalam kesnya.

Menurut Rusdi, Wan Muhammad Azri disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana berkelakuan menghina, Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dengan sengaja untuk menceroboh keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang menghukum 'penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian'.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS