Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Utamakan perkara asas berbanding pilihan raya PBT - Zaliha
Diterbitkan:  Dec 18, 2023 7:22 PM
Dikemaskini: 11:22 AM

Ada banyak perkara asas perlu diberi perhatian terlebih dahulu sebelum membincangkan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Bercakap kepada Malaysiakini, Zaliha berkata dia mengambil maklum mengenai pelbagai pandangan mengenai isu itu termasuk yang terbaru dilontarkan oleh Ketua DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai.

"Saya mengambil maklum dan menerima baik semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh semua pihak.

“Namun perkara dasar seperti pelaksanaan pilihan raya PBT ini perlu untuk perbincangan yang lebih mendalam sebelum apa-apa keputusan yang berkaitan dengannya diambil.

"Perkara yang lebih mendasar dalam hal PBT ini adalah seperti pemilihan AJK dan tata kelola bagi JMB atau Management Corporation bagi bangunan-bangunan strata di Wilayah Persekutuan.

"Perkara asas seperti ini perlu diberi keutamaan terlebih dahulu, sebelum kita bincang berkenaan pilihan raya PBT ini," katanya.

Tan semalam pada konvensyen DAP Wilayah Persekutuan mencadangkan agar pilihan raya PBT diadakan semula.

Katanya pilihan raya itu boleh bermula di Kuala Lumpur dengan penduduk tempatan akan memiliki suara demokratik dalam menentukan cara pentadbiran di ibu negara.

Pada masa ini, Kuala Lumpur hanya mempunyai ahli parlimen, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah kawalan kerajaan persekutuan.

Saranan Tan itu menimbulkan bantahan bukan sahaja daripada Perikatan Nasional (PN) tetapi juga Umno - yang merupakan sekutu DAP dalam kerajaan - melalui Majlis Tertingginya, Veteran dan sayap Pemuda parti itu.

Jurucakap Kerajaan Persekutuan, Fahmi Fadzil hari ini berkata Zaliha perlu diberi masa untuk mempertimbangkan cadangan berkenaan.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT ialah pada tahun 1963. Bagaimanapun pilihan raya PBT pada tahun berikutnya, telah digantung.

Penggantungan sementara itu kekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, menyaksikan pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan sama sekali dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis tempatan.

Gabungan Pakatan Rakyat yang kini telah dibubarkan pernah berjanji mengembalikan semula pilihan raya PBT pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Manifesto pilihan raya umum ke-14 PH pada 2018 tidak berjanji mengembalikan semula pilihan raya PBT tetapi menyatakan bahawa ia akan “menguatkan demokrasi tempatan” dan menjadikan PBT lebih bertanggungjawab kepada rakyat.

Gabungan itu juga berjanji meminda Akta Kerajaan Tempatan untuk mencerminkan hasrat tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS