Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan bunuh: Polis Perak nafi DSP Nazri dapat layanan istimewa
Diterbitkan:  Dec 18, 2023 5:25 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Polis menafikan ‘layanan istimewa’ diberikan kepada seorang pegawai kanan polis ketika didakwa membunuh pelajar berusia 17 tahun di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi tadi.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris menjelaskan, kehadiran berat dan kawalan ketat anggota polis semasa prosiding pertuduhan membunuh dilakukan untuk tujuan keselamatan.

“Ia bukan soal double standard atau layanan istimewa  seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya kepada pemberita selepas melawat kediaman keluarga mangsa, ke kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di Taman Chepor Sentosa, Chemor, Ipoh  hari ini.

Tambahnya, tertuduh, DSP Mohd Nazri Abdul Razak, 44, kini ditahan di Penjara Taiping sehingga dihadapkan ke mahkamah seterusnya.

Sebelum ini media mendakwa pegawai kanan polis itu memasuki Mahkamah Majistret dari laluan lain yang membolehkan dia memintas kerumunan wartawan dan krew video.

Mohd Nazri turut dikepung oleh kehadiran polis yang ramai bagi menghalang media daripada mendapatkan rakaman jelas terhadap tertuduh.

​Sementara itu, Utusan Malaysia memetik Azizi sebagai berkata, kawalan tersebut merupakan prosedur biasa bagi membawa orang kena tuduh (OKT) ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.

“Kita membuat kawalan di mahkamah adalah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman. Tiada istilah ‘double standard’ kerana layanan yang diberikan sama seperti pesalah lain.

“Ini merupakan kawalan biasa untuk OKT bermula diiringi anggota daripada lokap balai untuk dibawa ke mahkamah seterusnya dihadapkan ke hadapan hakim.

“Bagaimanapun, dalam kes ini OKT adalah pesalah biasa, kita tidak anggap berprofil tinggi pun cuma kes yang dihadapi menarik perhatian, jadi bila menarik perhatian kita perlu adakan kawalan yang ketat,” katanya.

Mengulas lanjut Azizi berkata, proses siasatan terhadap pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dilakukan secara telus sejajar dengan saranan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.

“Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kini ditahan di Penjara Taiping sementara menunggu perbicaraan akan datang,” katanya. beliau.

Terdahulu, media melaporkan, tertuduh, yang didakwa membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, dibawa ke Kompleks Mahkamah Ipoh hari ini, dalam keadaan dikawal ketat.

Dia dilaporkan diiringi lima anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap.

Pada prosiding berkenaan, Mohd Nazri yang memakai baju T berwarna putih dan berseluar hitam dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah dalam keadaan bergari dan kepala ditutup menggunakan kain hitam.

Selepas selesai prosiding, tertuduh kemudian dibawa keluar dengan pantas dan dikawal ketat menaiki kenderaan bercermin gelap dengan diiringi empat kenderaan lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS