Datuk Armizan Mohd Ali yang baru dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menzahirkan rasa bangganya atas komitmen dan legasi kecemerlangan kepimpinan yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di KPDN selama ini.
Hal ini secara tidak langsung membuka mata banyak pihak, inisiatif dan pendekatan RAHMAH yang dipelopori oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin telah memberi impak yang sangat besar dan signifikan kepada rakyat.
Armizan ketika memulakan sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara menyatakan hal tersebut dengan jelas.
"Saya mohon untuk mengambil kesempatan bagi pihak seisi keluarga KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) merakamkan setinggi penghargaan atas jasa dan sumbangan mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub. Sepanjang tempoh memangku jawatan ini, sejujurnya saya adalah saksi kepada komitmen dan kerja keras serta legasi kecemerlangan kepimpinannya.”
Kenyataan ini bukan sahaja membuktikan inisiatif Rahmah sebagai mekanisme berkesan mengurangkan kos sara hidup rakyat, bahkan melangkau garis politik kepartian yang memperlihatkan kebijaksanaan Parti Amanah dalam membawa agenda kesejahteraan rakyat tanpa memilih warna kulit dan agama. Inilah Rahmah yang menjadi pegangan Islam dan mampu mewujudkan keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum.
Namun demikian, ketika kepimpinan utama negara dan masyarakat semakin mendukung dan menerima pendekatan Rahmah dalam sistem ekonomi negara, kita dapati terdapat segelintir pimpinan Parti Amanah yang seakan-akan menyisih dan tidak lagi melihat ia sebagai strategi untuk mengangkat agenda rakyat sekali gus menjenamakan Amanah sebagai parti yang menekankan nilai kestabilan dan kesederhanaan.
Saya masih ingat akan kata-kata Allahyarham Salahuddin Ayub yang berkata, “Cita-cita saya adalah kalau boleh Rahmah ini menjadi satu nilai (value). Mungkin sampai bila-bila setiap peniaga atau antara kita yang membuka perniagaan, yang untung ataupun tidak untung, tapi ada bahagian daripada perniagaaan kita dah niat untuk bantu orang yang susah. Kalau ini boleh berlaku, insya-Allah negara Malaysia boleh jadi negara kasih sayang,”
Inilah pandangan jauh Allahyarham yang patut diteruskan. Rahmah ialah nilai, bukan sekadar produk atau program semata-mata, Allahyarham mahu menyerapkan nilai ini dalam segenap perjuangan Parti Amanah. Sayang sekali, andai kata nilai yang baik ini tidak lagi upaya didukung demi meneruskan agenda nasional serta mengukuhkan parti di mata rakyat. Kebimbangan inilah yang sedang melata dalam kalangan akar umbi yang menyedari inisiatif Rahmah seakan terpinggir dan tidak lagi menjadi keutamaan.
Membina nilai bukanlah dalam satu malam. Ia memerlukan dukungan dan strategi dalam segenap barisan kepimpinan parti untuk memastikan inisiatif yang baik ini bukan sahaja dapat diteruskan bahkan mampu dikembang dalam segenap aktiviti dan menjadi budaya dalam parti. Ingin saya tegaskan di sini, Rahmah bukan tentang ‘harga’ tetapi tentang ‘nilai. Nilai yang pada akhirnya menghasilkan kasih sayang, bertolak ansur, saling memahami dan rasa ihsan. Inilah mesej dan matlamat holistik yang hendak dibawa di bawah “Payung Rahmah”. Ini agenda besar. Agenda yang bukan atas nama individu, sebaliknya agenda untuk memartabatkan kembali agama Allah melalui fahaman yang lurus dan membetulkan salah faham terhadap Islam yang selama ini dilihat dari kaca mata ekstrim dan tertutup.
Parti Amanah harus menjuarai perjuangan ini. Rahmah adalah agenda utama parti. Hal inilah yang membezakan Parti Amanah dengan parti-parti politik yang lain. Sudah sampai masanya, agenda Rahmah diangkat dan diposisikan kembali dalam plan strategi parti untuk tindakan yang lebih menyeluruh dan berkesan. Selagi mana kita masih melihat inisiatif Rahmah dalam kerangka ekonomi semata-mata, dan mengabaikan nilai yang terkandung di dalamnya, selagi itulah kita gagal mengurus persepsi rakyat dan ahli parti dengan lebih bijaksana.
Sama ada kita sedar atau pun tidak, kita seharusnya berterima kasih kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub atas legasi Rahmah yang ditinggalnya. Tugas kita bukan sekadar menyambung usaha-usaha yang telah Allahyarham lakukan sebelum ini, malah menterjemahkan idea tersebut dalam tindakan yang lebih strategi serta menjadi agenda utama parti untuk tahun-tahun mendatang. Al-fatihah.
ZULKIFLI MOHAMED ialah Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Rahmah Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.