Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Zayan Rayyan: Siasatan hari ke-11 tumpu unit pangsapuri tak diduduki

Proses penyiasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin hari ini beralih ke unit-unit tidak berpenghuni di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai bagi mencari petunjuk baru untuk merungkaikan kes itu.

Tinjauan Bernama mendapati sepasukan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di Blok R pada pukul tiga petang dan mula memasuki unit-unit kosong berkenaan sebelum dilihat meninggalkan bangunan itu dua jam kemudian.

Difahamkan terdapat lebih 40 unit yang tidak berpenghuni di blok R dan polis dilaporkan telah mempergiat usaha mencari bukti di tingkat tiga dan empat blok terbabit seawal 9.30 pagi lagi sebelum berhenti rehat pada waktu tengah hari.

Selepas 11 hari siasatan dilakukan, polis telah mengambil keterangan 172 individu termasuk ibu bapa kanak-kanak malang itu, saksi, jiran dan penduduk sekitar.

Kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu dan polis membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Disember lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS