Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai polis akan dihadapkan pertuduhan bunuh
Diterbitkan:  Dec 17, 2023 9:25 PM
Dikemaskini: Dec 18, 2023 2:43 AM

Pegawai kanan polis yang terlibat dalam insiden langgar lari yang meragut nyawa seorang pelajar di Perak akan didakwa atas tuduhan bunuh.

Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan ringkas berkata, ada cukup bukti dan keterangan untuk mendakwanya atas pertuduhan itu, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

AGC berkata, pegawai kanan tersebut - yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah - akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh esok, sebelum kes dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Dalam insiden yang berlaku Jumaat lalu, pegawai tersebut yang memandu Perodua Ative didakwa melanggar pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Muhammad Zaharif Affendi Mohd Zamrie yang sedang menunggang motosikal.

Remaja berusia 17 tahun itu mati ditempat kejadian selepas cedera di bahagian dada dan abdomen.

Suspek dilaporkan melarikan diri. Lelaki berusia 44 tahun itu kemudian ditangkap dan polis memberi jaminan siasatan akan dibuat dengan telus.

Keluarga mangsa terutama bapanya, Muhd Zamrie Zainal Abidin dalam keadaan amat berduka dengan apa yang terjadi.

Terdahulu, Bernama melaporkan Muhd Zamrie tidak makan sejak hari kematian anaknya.

"Sampai hari ini pun, dia (Muhd Zamrie) masih belum makan apa-apa, kecuali air (minum) sahaja. Dia tidak boleh makan... apabila teringat dekat anak, dia tak mampu nak suap makanan, nasi pun tak boleh, air saja yang boleh tampung," kata isterinya, Mimi Julia Ismail.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS