Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan membincangkan isu anugerah gelaran 'Datuk' yang diterima wakil rakyat mereka, Ng Suee Lim dalam mesyuarat akan datang.
Setiausaha agung parti Anthony Loke secara ringkas memberitahu pemberita demikian semasa sidang media di konvensyen DAP Wilayah Persekutuan hari ini.
Ng, yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, telah dikurniakan gelaran 'Datuk' pada 11 Dis oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dasar semasa DAP menyatakan bahawa hanya ahli parti yang bersara dibenarkan menerima penghormatan daripada ketua kerajaan negeri atau persekutuan.
Bagaimanapun, Ng berkata dia telah memaklumkan kepada kepimpinan parti sebelum menerima penghormatan itu.
Loke mengesahkan perkara ini dengan menyatakan: "Memang dia ada bincang dengan saya. Saya minta dia bawa ke jawatankuasa DAP Selangor. Kita akan bincang dalam jawatankuasa pusat perkara ini dlm mesyuarat CEC akan datang."
Dua bulan lalu, dua wakil rakyat DAP dari Sabah telah diberi amaran keras oleh CEC parti itu selepas dianugerahkan dan menerima jawatan 'Datuk'.
Kedua-duanya - Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe - memohon maaf dan berkata mereka menerima teguran kerana melanggar dasar parti yang melarang ahli menerima gelaran semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat.