ULASAN | Berita di portal FMT bertajuk ‘Political changes mean Malay PM not guaranteed now, says Muhyiddin’ menarik minat saya untuk memberikan sedikit ulasan. Saya sedang sibuk dengan tugasan lain lalu berhenti sejenak untuk menulis komentar ini.
Reaksi spontan saya apabila membaca kenyataan Muhyiddin tersebut adalah jelas. Muhyiddin penuh sedar bahawa isu “adakah Perlembagaan menjamin perdana menteri (PM) mesti di kalangan orang melayu" wajar diputar belit bagi mewujudkan keresahan di kalangan orang Melayu - iaitu para pengundi ‘deposit tetap’ parti Bersatu.
Dari segi pengamal politik berideologi Machiavellianism, sudah tentu isu sebegitu amat wajar diputar belit (spin). Orang politik kata ia “bola tanggung!”
Hatta parti PAS yang mendakwa ia parti Islam juga sependapat dengan pemimpin Bersatu meskipun satu waktu dulu PAS pernah bermuktamar dengan slogan “menggempur pemikiran ashabiyah”. Soalan pada PAS: Bagaimana jika PM itu Cina muslim dan bertaqwa dan tidak korup?
Dari sudut politik, "spin doctors" atau "spinmeisters" adalah mereka yang pakar dalam membangunkan mesej yang ada elemen" menipu" dan "mengelirukan".
Kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang hakikatnya jelas dan tidak berbelit iaitu Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan syarat bahawa PM mestilah orang Melayu. Muhyiddin juga faham dan sedar fakta itu. Justeru, ia bukan isu.
Tetapi diputar sebegitu rupa bahawa kononnya di Malaysia kini sudah tidak ada lagi jaminan bahawa PM mesti di kalangan orang Melayu. Mesti PM orang Melayu, meskipun Melayu yang merosakkan bangsanya sendiri.
Tidak cukup dengan putaran itu, diputar lagi bahawa kononnya dengan adanya kini undang-undang antilompat parti mengakibatkan ahli politik (ahli parlimen khususnya) kini terikat dengan keputusan parti dan tidak boleh melawan keputusan parti hatta sekiranya parti bersetuju untuk calon PM di kalangan bukan Melayu.
Soalan: Bukankah wakil Perikatan Nasional (PN) ada dalam jawatankuasa yang terlibat menggubal undang-undang antilompat parti (saya terlibat juga mewakili Amanah), mengapa saya tidak pernah dengar Hamzah Zainuddin dan Taqiyuddin Hassan - wakil PN - hujahkan macam Muhyiddin hujah? adakah hujah Muhyiddin sekadar afterthought?
Seakan sedar kerapuhan hujah itu, diputar lagi bahawa meskipun Agong (raja Melayu) ada budi bicara untuk melantik PM, budi bicara itu tidak mutlak berdasarkan Perlembagaan.
Soalan: Adakah Muhyiddin mahu ganti daripada konsep Raja Berperlembagaan kepada konsep Raja Mutlak?
Amat malang politik di Malaysia selalu diwarnai dengan politik perkauman yang sempit. Dan yang lebih malang lagi setengah dari ahli politik di Malaysia lebih cenderung untuk menakutkan para pengundi daripada mendidik mereka.
Kenyataan Lim Kit Siang itu jika tidak diwarnai oleh politik perkauman sempit sebaliknya dicat dengan politik "gentlemanship", tiada apa yang perlu digusarkan.
Ya, benar dalam Perlembagaan memang tidak dinyatakan bahawa PM wajar orang melayu tetapi dalam tradisi Perlembagaan adanya konsep "constitutional conventions " iaitu tradisi amalan Perlembagaan di mana tradisi itu mengesahkan bahawa PM di Malaysia wajar dilantik di kalangan ahli parlimen Melayu.
MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah mantan ahli parlimen Sepang
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.