Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Wajah apa kita nak tunjuk?' - Perwakilan Amanah tegur ahli tak tepati masa

Perwakilan Pemuda Amanah Negeri Sembilan menegur sikap sejumlah ahli sayap parti itu yang tidak menepati masa berbanding tetamu jemputan dari Pemuda Umno yang tiba lebih awal di Konvensyen Pemuda Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

Umar Mokhtar Abdullah berkata sikap seumpama itu tidak sepatutnya ditunjukkan oleh sebuah parti yang menjadi komponen dalam kerajaan perpaduan.

"Wakil Pemuda Umno (selaku tetamu jemputan) sampai sekitar jam 7.28 pagi, tapi (sebahagian perwakilan) Pemuda Amanah pukul 10 pagi masih belum ada.

"Wajah apakah yang kita nak tunjuk pada rakan komponen kita," katanya ketika sesi perbahasan pidato Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda.

Konvensyen Pemuda Amanah dirasmikan oleh presiden Mohamad Sabu pagi tadi.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohamad antara lain menggesa Pemuda Amanah untuk menjadi peneraju dalam usaha meningkatkan sokongan kerajaan perpaduan di empat negeri yang ditadbir pembangkang, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Umar Mokhtar berkata sikap seumpama itu antara sebab mereka masih tenggelam berbanding sayap pemuda parti komponen PH yang lain, walaupun Amanah telah berusia lapan tahun dan kini dalam kerajaan.

"Kita tenggelam berbanding PKR. Pemuda Amanah sudah lapan tahun tapi kita dilihat kecil. Kita kini (dalam) kerajaan tapi wadah Pemuda Amanah tak menyerlah.

"Wajah kita sukar nak jual di luar," katanya lagi.

Sementara itu perwakilan dari Selangor Mirzan Majid meminta pemimpin sayap itu supaya kerap ke masjid untuk mendekati orang Melayu.

Katanya Pemuda Amanah perlu kerap berdamping dengan pengundi supaya mereka mula menyokong parti itu.

"Kita harus masuk masjid, jangan tak masuk masjid. Undi Melayu mana yang kita akan ambil kalau kita tidak pergi ke masjid?" soalnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS