Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemuda Amanah perlu jadi peneraju raih sokongan buat PH, BN'

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) perlu menjadi peneraju dalam mendapatkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan, di empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang kini ditadbir pembangkang.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu, perlu dilaksanakan secara bersama dengan kekuatan Pemuda UMNO, sebagai usaha memulihkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di empat negeri itu.

“Untuk kita bertapak kembali di Kelantan dan Terengganu khususnya, kita perlu bekerja erat dan kuat supaya UMNO kembali kuat. Tak pernah saya cakap nak minta UMNO kuat, tetapi ini fakta…sebab itu kebersamaan kita antara PH, UMNO, BN di negeri-negeri ini perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.

“Bukan ada formula dan teori payah sangat, kalau ada Pilihan Raya Kecil (PRK) kita hurung betul-betul, turun, Pemuda cara pemuda, Wanita, WARDA (Wanita Muda Amanah), semua turun bersama, insya-Allah kita kembali memulihkan kedudukan di empat negeri,” katanya ketika merasmikan Konvesyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad berkata beliau mempunyai keyakinan Kerajaan Perpaduan akan terus memerintah dan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kerana mempunyai undi yang banyak di tujuh negeri.

Beliau berkata tujuh negeri itu ialah Sabah, Sarawak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, selain Kuala Lumpur yang menjadi kekuatan kerajaan kini.

“Di negeri-negeri ini, bila kita lihat perkembangan politik dan suasananya kita insya-Allah cukup majoriti untuk bentuk kerajaan,” katanya.

Mohamad juga menyuarakan keyakinan Kerajaan Perpaduan akan terus disokong penjawat awam, susulan sokongan kuat mereka pada beberapa PRK yang diadakan sejak kebelakangan ini.

“Undi penjawat awam kepada kita (sebelum ini) begitu parah, susulan wujud dakwaan kerajaan akan bertukar selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, (tetapi) selepas tidak ada pertukaran kerajaan, saya yakin selepas empat tahun (PRU16) kerajaan (Perpaduan) tidak (akan bertukar) dan penjawat awam akan bersama kita,” kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS