Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Amanah tubuh Aqsa penuhi permintaan Salahuddin

Pemuda Amanah menubuhkan Akademi Kepimpinan Salahuddin Ayub (Aqsa) sebagai platform perkaderan pemimpin sayap parti itu.

Ketuanya, Hasbie Muda berkata, penubuhan Aqsa adalah bagi memenuhi permintaan bekas timbalan presiden Amanah, Allahyarham Salahuddin Ayub.

"Pemuda (Amanah) kini merealisasikan permintaan mantan timbalan presiden Allahyarham Salahuddin Ayub ketika ucapan beliau pada konvensyen pemuda di Melaka pada tahun 2020 yang lalu iaitu untuk menyediakan 50 orang pemuda yang akan dilatih bagi menerajui kepimpinan.

"Akademi Kepimpinan Putra, Akademi Tunas Negarawan (Tune), Aqsa diwujudkan sebagai platform latihan dan pembangunan kepimpinan untuk ahli pemuda.

"Aqsa, sebab apa kita buat Aqsa, ia adalah platform tahap tertinggi, khususnya untuk kami barisan exco...dan Aqsa ini pengisiannya ialah kepimpinan utama parti dan kepimpinan utama kerajaan," katanya ketika menyampaikan pidatonya pada Konvensyen Pemuda Amanah, di Kuala Lumpur, hari ini.

Melalui Aqsa, Hasbie berkata Pemuda Amanah turut merancang untuk menjemput pemimpin parti sekutu mereka, termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk berkongsi pandangan dalam soal pentadbiran parti.

Katanya, Aqsa menjadi platform perkaderan tertinggi bagi sayap parti itu dalam membina kepimpinan yang lebih berkualiti.

"Insya-Allah kita pun nak jemput presiden Umno untuk menjadi antara orang yang akan memberi sumbangan ataupun pengisian dalam Aqsa.

"(Pemuda) jemput (juga) pimpinan DAP, pimpinan rakan kita dalam PKR. Kalau boleh kita nak jemput juga perdana menteri untuk datang sama-sama memberi pengisian dalam Aqsa," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS