Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: Orang Melayu anak ramai, kaum lain susah nak jadi PM

Isu perdana menteri bukan Melayu sengaja dimainkan pembangkang agar mereka dilihat sebagai pembela orang Melayu, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Mohamad berkata perkara itu sudah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak perlu diperdebatkan.

"Perdana menteri bukan Melayu itu (termaktub) dalam Perlembagaan tetapi orang Melayu masih majoriti, jadi kenapa nak bincang hal itu...Ia sengaja dimainkan untuk wujudkan persepsi.

"Orang Melayu semakin ramai beranak, banyak (orang) Cina tak mahu beranak. Ia sengaja dimainkan bagi memerangkap minda rakyat supaya PN (dilihat) yang menyelamatkan kedudukan mereka (orang Melayu)," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Ketua Pemuda Amanah, Hasbi Muda.

Mohamad membayangkan isu tersebut terus dimainkan kerana pembangkang bimbang melihat sejumlah ahli parlimen mereka menyuarakan sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Sebelum ini, tokoh veteran DAP Lim Kit Siang membangkitkan kemungkinan untuk individu bukan Melayu dan Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang perkara itu.

Namun ia mengundang kritikan sejumlah pihak, antaranya Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang turut mencadangkan Perlembagaan dipinda agar hanya orang Melayu boleh dilantik menjadi perdana menteri.

Semalam Anwar berkata saranan itu adalah tidak wajar dan hanya mahu mengapi-apikan keadaan, dan pihak yang mencadangkannya tidak memahami konsep sebenar Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian konvensyen, Mohamad menyuarakan keyakinan kerajaan perpaduan akan terus dipilih untuk mentadbir negara dalam PRU akan datang.

Dia berkata ini kerana gabungan yang membentuk kerajaan iaitu PH, BN, GPS dan GRS masing-masing memiliki sokongan kuat di negeri yang ditadbir mereka.

"Kita ada 'vote bank' iaitu di Sabah, Sarawak, Johor, Melaka Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

"Bila kita lihat perkembangan politik dan suasana di negeri-negeri ini, insya-Allah kita (akan dapat) cukup majoriti untuk bentuk kerajaan (dalam PRU16)," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS