Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam dakwa 'ahli politik' dalang rompakan berkumpulan masih bebas

Seorang peguam menyoal mengapa dua orang yang didakwa sebagai dalang rompakan terhadap anak guamnya pada 2021 masih bebas.

Ini katanya, walaupun pertuduhan telah dikenakan terhadap dua pegawai SPRM dan seorang bekas pegawai badan antirasuah itu berhubung kes berkenaan.

Peguam Guok Ngek Seong yang mewakili ahli perniagaan China Kun Gao yang dirompak itu, mendakwa salah seorang dalang rompakan itu dikatakan ahli politik.

Pada sidang media bersama Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng di Bangsar hari ini, Guok berkata anak guamnya telah membuat laporan itu sejurus selepas rompakan itu.

Polis kemudiannya menahan lima individu dan memulakan siasatan, tetapi Guok (atas, kiri) mendakwa tiada perkembangan lanjut dalam kes itu sehingga dua tahun kemudian selepas dia meminta bantuan Lim.

Pada Rabu, pegawai SPRM Muhammad Haffiz Mohd Radzi, Mohd Fahmee Mohamad Nor dan bekas pegawai SPRM Azwan Asli, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berasingan atas pertuduhan rompakan berkumpulan.

Dilaporkan ketiga-tiga orang itu dituduh merompak pelbagai barangan termasuk beg berjenama Louis Vuitton (LV) serta wang tunai RM952,690 dan ¥1,225 (RM805) milik ahli perniagaan warga China itu.

Mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan di sebuah unit di Kediaman Ritz Carlton, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, sekitar tengah hari pada 10 Dis 2021.

Bagaimanapun, Guok mendakwa dua lagi individu masih bebas.

Menurutnya lagi, dua dalang itu pasangan suami isteri, dengan seorang daripada mereka merupakan seorang tokoh politik.

“Menurut anak guam saya, salah seorang daripada mereka aktif dalam politik […] (Mereka) adalah pasangan suami isteri.

“Anak guam saya percaya mereka menjadi dalangnya. Pada masa itu, tiga pegawai SPRM itu datang bersama pasangan itu. Mereka (pasangan itu) berada di belakang semua ini. Tanpa mereka, kes ini tidak akan berlaku.

“Sudah tentu tiga pegawai SPRM ini bersubahat,” katanya.

Ketika ditanya, Guok mendakwa tokoh politik lelaki itu merupakan parti pemerintah tetapi bukan ahli parlimen atau wakil rakyat. Bagaimanapun, dia enggan menamakan orang itu.

'Kenapa AG ambil masa lama?'

Sementara itu, Lim berkata dia telah menulis surat kepada agensi penguatkuasaan undang-undang pada September untuk bertanya mengenai perkembangan kes berkenaan tetapi tidak menerima maklum balas.

Selepas itu, pada November, dia membangkitkan isu tersebut di parlimen. Dalam maklum balas bertulis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kuasa membuat keputusan mengenai perkara berkenaan terletak pada peguam negara.

Berikutan itu, Lim berkata dia telah menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa supaya mengambil tindakan.

“Saya mohon perdana menteri kita ambil tindakan kerana kes ini telah berlarutan terlalu lama […] Ya, pada 13 Dis, tiga pegawai SPRM baru didakwa atas kesalahan samun berkumpulan.

“Jadi sekarang saya ada satu soalan untuk peguam negara. Soalan saya kepada peguam negara ialah: Apa yang menyebabkan anda begitu lama?”

"Saya percaya peguam negara berhutang penjelasan kepada mangsa dan semua rakyat yang mematuhi undang-undang," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS