ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seluar pendek tukar pelikat: Kod pakaian tak patut jadi isu – MPKS

Kod etika berpakaian di premis-premis kerajaan ketika ini sepatutnya tidak lagi menimbulkan isu sehingga perlu disebar luaskan, kata Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Yang Dipertua MPKS Mohamad Hanafe Basri (gambar, bawah) memberi maklum balas terhadap isu sebuah video tular yang memaparkan seorang individu diminta mengenakan kain pelekat ketika mahu berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Kata Mohamad, masyarakat umum sudah maklum mengenai kod etika berpakaian terbabit selain faham bahawa setiap tempat atau lokaliti mempunyai tatacara atau pun kaedah peraturan masing-masing.

“MPKS mengambil maklum mengenai video penggunaan kain batik atau pelekat ketika berurusan di ibu pejabat MPKS baru-baru ini.

ADS

“Kod etika pemakaian ketika berurusan di ibu pejabat MPKS telah lama digunapakai dan kod etika tersebut turut dipaparkan di pintu masuk ibu pejabat.

“Kod etika berpakaian di premis kerajaan sepatutnya tidak menimbulkan isu kerana masyarakat umum sudah pun maklum mengenainya dan setiap anggota masyarakat perlu memahami bahawa setiap tempat atau lokaliti sudah mempunyai tatacara atau pun kaedah peraturan masing-masing” katanya pada satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan mengenai rakaman video seorang lelaki yang didakwa mahu berurusan dengan MPKS diminta mengenakan kain pelekat selepas hadir ke premis kerajaan itu dengan berseluar pendek.

Bagaimanapun, tidak jelas bila kejadian berkenaan berlaku.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohamad Hanafe berkata etika berpakaian di premis kerajaan juga adalah selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan yang bertujuan memupuk kesepaduan rakyat menerusi sikap bersopan santun dan bertatasusila.

“Sebagai warganegara Malaysia khususnya wajarlah menghormati dan akur kepada peraturan sedia ada termasuk keperluan mematuhi etika berpakaian di premis kerajaan dan seharusnya ia tidak menjadi sebarang isu,” tegasnya.

‘Hak pelanggan sebagai tetamu’

Bagaimanapun, Mohamad Hanafe berkata satu siasatan dalaman akan dijalankan segera untuk mengenal pasti isu yang berlaku selain memberi teguran kepada pihak terlibat.

“MPKS telah mengambil tindakan dan membuat teguran terhadap semua petugas RELA yang bertugas di MPKS supaya memahami arahan dengan jelas dan sentiasa mengutamakan hak setiap pelanggan sebagai tetamu yang perlu disantuni dengan baik dan berhemah.

"Satu siasatan juga akan diadakan segera untuk mengenal pasti isu ini,” katanya lagi.

Isu etika berpakaian di premis-premis kerajaan kembali menjadi tumpuan selepas seorang warga emas dilarang melawat abang iparnya di sebuah hospital kerajaan kerana berseluar pendek dan diberi teguran mengenai Rukun Negara.

Ketika kejadian itu, Lim Thean Heng, 72 memakai baju T, berseluar pendek atas lutut dan berkasut sukan ketika tiba di Hospital Seberang Jaya pada petang Isnin lalu.

ADS

Terkejut dengan larangan itu, Lim menyoal perkara tersebut kepada pengawal keselamatan bertugas.

Bagaimanapun, Lim kemudian ditunjukkan infografik kod pakaian pelawat hospital, yang melarang seluar pendek, skirt pendek dan baju tanpa lengan.

Kesal dengan apa yang berlaku, Lim kemudian membangkitkan perkara itu di kaunter aduan hospital, dengan seorang pegawai memaklumkan akan menggunakan budi bicaranya dan membenarkan dia masuk “hanya untuk kali ini”.

Dalam kejadian 9 Disember lalu pula, seorang lelaki turut mendakwa anggota polis memintanya menukar seluar panjang terlebih dahulu ketika mahu membuat laporan mengenai kejadian kecurian dan insiden keretanya dipecahkan oleh penjenayah.

Menurut laporan China Press, Shim yang berusia 34 tahun sedang menjamu selera di sebuah pusat penjaja di Bukit Tambun, Pulau Pinang bersama keluarganya sebelum mendapati cermin keretanya dipecahkan sebaik kembali ke kenderaannya itu.

Dalam kejadian itu, Shim kehilangan wang tunai berjumlah RM800 dan pasport isterinya yang merupakan warganegara China turut lesap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS