Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rombakan kabinet: Zahid tunjuk dia masih berkuasa, kata KJ

Pertukaran beberapa portfolio menteri-menteri Umno dalam rombakan kabinet yang pertama sejak penubuhan kerajaan perpaduan baru-baru ini didakwa memperlihatkan kuasa sebenar Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, rombakan itu juga menghantar mesej bahawa timbalan perdana menteri itu masih mempunyai kawalan dalam Umno meskipun menghadapi masalah kesihatan.

Menggelarkan ahli Parlimen Bagan Datoh itu sebagai 'Thanos', Khairy berkata pertukaran portfolio Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, daripada Menteri Pertahanan kepada Menteri Luar pula disifatkan sebagai turun pangkat.

“Apabila dia (Ahmad Zahid) dengar yang perdana menteri akan melakukan rombakan kabinet, dia mungkin fikir: inilah peluangnya untuk beritahu orang ramai - walaupun telah melalui pembedahan baru-baru ini - saya masih berkuasa, saya masih ada di sini dan boleh tukar sesiapa saja.

"Kamu timbalan presiden ke, naib presiden ke (kamu tak selesa) saya akan pusing-pusingkan kamu.

"Yang kekal adalah saya (Zahid)… Thanos. Yang lain semua, timbalan presiden yang jadi menteri pertahan akan sekarang ini aku campak kau ke Wisma Putra.

"Kau naib presiden, dulu jaga KPT (kementerian pendidikan tinggi, merujuk kepada Mohamed Khaled Nordin) saya hantar kamu jaga askar, (tempat) yang kamu tak ada apa-apa pengalaman," katanya dalam program bual bicara Podcast Keluar Sekejap, hari ini.

Khairy berkata demikian sebagai mengulas rombakan kabinet kerajaan perpaduan diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Dia mengendalikan program Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan,

Keahlian Shahril dalam Umno digantung selama enam tahun mulai akhir Jan tahun ini, manakala Khairy dipecat.

Untuk rekod, Thanos yang disebut Khairy merujuk kepada watak penjahat utama yang berkuasa dalam siri komik dan filem Marvel Comics.

Anwar melakukan rombakan kabinet yang pertama sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkukuh pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Jumpa ketua ‘Umno Zimbabwe’

Rombakan itu turut melibatkan pertukaran portfolio menteri-menteri Umno. Misalnya Mohamad diberikan tanggungjawab mengendalikan Wisma Putra di sebalik kedudukannya yang kanan selaku timbalan presiden dalam Umno.

Mengikut kelaziman, satu daripada portfolio kanan dalam kerajaan ialah di Kementerian Pertahanan. Bagi menggantikan Mohamad di situ ialah Khaled yang juga naib presiden Umno serta bekas menteri besar Johor.

Mengulas portfolio terkini Mohamad, Khairy berkata kementerian itu mungkin boleh dianggap jawatan "sangat kanan" namun ia tidak akan memberikan kelebihan politik kepada ahli politik terbabit.

Berbanding portfolio di kementerian pertahanan, Khairy berkata, Mohamad akan mempunyai peluang yang lebih kecil untuk menyentuh isu-isu yang melibatkan perkara asas dengan rakyat dan pemimpin politik akar umbi.

Khairy turut mendedahkan perbualan dia dengan bapa mentuanya yang juga bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kesukaran dihadapi di Wisma Putra.

“Saya masih ingat apabila saya bincang dengan Tun Abdullah, atau Pak Lah, berkenaan dengan pengalaman beliau sebagai menteri luar.

"Ya, dia mengakui bahawa itu tidak menghalang beliau untuk menjadi perdana menteri Malaysia tetapi Pak Lah juga mengakui bahawa jawatan itu telah menyukarkan (perjalanan) politiknya," kata bekas menteri kesihatan itu.

Menurut Khairy, jawatan menteri luar itu akan menjadikan Mohamad lebih banyak menghabiskan masanya di luar negara sekali gus terhad untuk berhubung dengan rakyat Malaysia.

“Sekurang-kurangnya semasa menjadi menteri pertahanan, dia ada kem-kem tentera yang dia boleh melawat.

“Jadi, kalau dia pergi melawat kem tentera, dia boleh saja berjumpa dengan keluarga tentera, jumpa dengan masyarakat setempat, ketua bahagaian Umno yang ada kem-kem tentera atau sekitarnya.

"Tetapi kalau kamu menteri luar, kamu nak jumpa siapa? Nak jumpa ketua Umno Zimbabwe?" katanya berseloroh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS