mk-logo
Berita
Seluar pendek: 'Nak masuk juga MPKS kena tukar kain pelekat'
Diterbitkan:  Dec 15, 2023 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Selepas insiden seorang lelaki warga emas dilarang memasuki sebuah hospital di Pulau Pinang oleh pengawal keselamatan kerana tidak mematuhi etika kod pakaian, kini tular satu lagi video memaparkan kejadian serupa.

Kali ini pula membabitkan seorang lelaki yang didakwa mahu berurusan dengan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Menerusi video berdurasi 53 saat itu, lelaki berseluar pendek berkenaan diminta mengenakan kain pelekat sekiranya hendak memasuki banggunan agensi kerajaan itu.

“Dia kalau pakai seluar pendek nak masuk sini kena pakai kain pelekat, kalau perempuan kena pakai kain batik,” kata pengawal keselamatan yang bertugas di pintu masuk banggunan berkenaan.

Pada masa sama, individu dalam rakaman video tersebut juga mendakwa ia peraturan baru yang perlu dipatuhi.

"Undang-undang baru. Arahan kena ikutlah, kalau perempuan kena pakai kain batik," katanya.

Bagaimanapun, tidak jelas bila kejadian berkenaan berlaku.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak MPKS dan sedang menunggu maklum balas berhubung kejadian itu.

Isu etika berpakaian di premis-premis kerajaan kembali menjadi tumpuan selepas seorang warga emas dilarang melawat abang iparnya di sebuah hospital kerajaan kerana berseluar pendek dan diberi teguran mengenai Rukun Negara.

Ketika kejadian itu, Lim Thean Heng, 72 (gambar, atas) memakai baju T, berseluar pendek atas lutut dan berkasut sukan ketika tiba di Hospital Seberang Jaya pada petang Isnin lalu.

Terkejut dengan larangan itu, Lim menyoal perkara tersebut kepada pengawal keselamatan bertugas.

Bagaimanapun, Lim kemudian ditunjukkan infografik kod pakaian pelawat hospital, yang melarang seluar pendek, skirt pendek dan baju tanpa lengan.

Kesal dengan apa yang berlaku, Lim kemudian membangkitkan perkara itu di kaunter aduan hospital, dengan seorang pegawai memaklumkan akan menggunakan budi bicaranya dan membenarkan dia masuk “hanya untuk kali ini”.

Dalam kejadian 9 Disember lalu, seorang lelaki turut mendakwa anggota polis memintanya menukar seluar panjang terlebih dahulu ketika mahu membuat laporan mengenai kejadian kecurian dan insiden keretanya dipecahkan oleh penjenayah.

Menurut laporan China Press, Shim yang berusia 34 tahun sedang menjamu selera di sebuah pusat penjaja di Bukit Tambun, Pulau Pinang bersama keluarganya sebelum mendapati cermin keretanya dipecahkan sebaik kembali ke kenderaannya itu.

Dalam kejadian itu, Shim kehilangan wang tunai berjumlah RM800 dan pasport isterinya yang merupakan warganegara China turut lesap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS