Paling Popular
Terkini

Seorang warganegara Malaysia gagal dalam tuntutannya untuk memulihkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bernilai RM100 juta antara Malaysia dan Singapura.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak tindakan sivil Mohd Hatta Sanuri terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Tindakan sivil itu adalah atas pembatalan projek itu pada 2021.

Bagaimanapun, terdapat percubaan untuk menghidupkan semula projek itu di bawah pentadbiran pimpinan Anwar Ibrahim sekarang.

Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini, pesuruhjaya kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa tuntutan mahkamah itu mengelirukan dan tidak mendedahkan sebab tindakan yang jelas.

Roz Mawar berkata mahkamah terpaksa meneliti pernyataan tuntutan setebal 63 muka surat yang berbelit-belit itu sebanyak tiga kali, dan mendapati terdapat kekurangan kekhususan mengenai dakwaan penyelewengan dalam jawatan awam oleh Mahathir dan Muhyiddin serta tiga defendan lain.

“Terdapat penyalahgunaan proses mahkamah, sedangkan dia (Hatta) mendakwa dana awam telah (membazir) dibelanjakan untuk membatalkan projek, tetapi plaintif memfailkan saman untuk mendapatkan keuntungan kewangan daripada dana awam.

"Mahkamah ini menghalang usaha sedemikian, kerana membenarkan saman ini (untuk perbicaraan penuh) akan membanjiri badan kehakiman dengan kes sedemikian.

"Tidak perlu masa kehakiman yang lebih berharga dihabiskan untuk kes ini," kata Roz Mawar sambil mengarahkan Hatta membayar kos RM10,000 kepada Mahathir dan Muhyiddin serta tiga defendan lain.

Tiga lagi defendan ialah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed, bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong, dan kerajaan Malaysia.

Malaysia dan Singapura pertama kali menandatangani perjanjian dua hala mengenai HSR pada 13 Dis 2016 - semasa pentadbiran perdana menteri ketika itu Najib Abdul Razak.

Projek bernilai RM110 bilion yang melibatkan pembangunan sepanjang 350km itu bertujuan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.

Kemudian, semasa pentadbiran Mahathir pada akhir 2018, kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan projek HSR.

Kemudian pada 1 Jan 2021, Muhyiddin dalam satu kenyataan media bersama Perdana Menteri Singapura Lee Shien Loong mengumumkan pembatalan projek itu.

Bagaimanapun, tahun ini, kerajaan pimpinan Anwar mengesahkan akan menghidupkan semula projek itu, dengan pembukaan permintaan untuk maklumat (RFI) bagi firma tempatan dan antarabangsa.

Menerusi tuntutan mahkamah yang difailkan pada Disember 2022, Hatta memohon perintah mahkamah untuk memulihkan projek itu serta menuntut lima defendan membayar pampasan RM1 juta kepada setiap warganegara Malaysia.

Plaintif juga memohon perintah untuk memaksa defendan memberi penjelasan bertulis berhubung sebab penangguhan dan pembatalan projek itu.

Hatta menjadi tumpuan sebelum ini berhubung permohonan undang-undang yang gagal terhadap kerajaan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan kedaulatan Singapura ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Puteh).

Peguam kanan persekutuan Donalf Joseph Franklin mewakili Mahathir, Muhyiddin, Mustapa, Wee, dan kerajaan.

Peguam Nur Izatul Nabila Nazarudin hadir untuk Hatta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS