Perdebatan terbaru mengenai kaum seseorang perdana menteri menyebabkan dakwaan lama mengatakan Malaysia pernah mempunyai pemangku perdana menteri bukan Melayu timbul semula.
Kisahnya begini. Dalam krisis yang singkat, Malaysia dikatakan pernah mempunyai bukan seorang tetapi dua pemangku perdana menteri bukan Melayu.
Dalam satu dakwaan yang tersebar di blog dan Wikipedia, apabila Umno dibatalkan pendaftarannya pada Februari 1988, kawalan kerajaan diletakkan pada menteri pengangkutan ketika itu yang juga presiden MCA Dr Ling Liong Sik sehingga Umno didaftarkan semula sebagai parti politik dan boleh menyertai semula BN.
Kisah lain apabila Dr Ismail Abdul Rahman meninggal dunia pada 2 Ogos 1973, semasa memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri.
Ketika itu perdana menteri Abdul Razak Hussien berada di luar negara dan menteri kerja raya ketika itu yang juga presiden MIC VT Sambanthan menjadi pemangku perdana menteri selama sehari sehingga Abdul Razak kembali.
Semakan Malaysiakini mendapati cerita pertama mengenai Ling adalah palsu, walaupun dia merupakan watak penting ketika krisis itu berlaku.
Kisah mengenai Sambanthan lebih sukar untuk dipastikan tetapi sekurang-kurangnya lebih munasabah.
Akhbar yang diterbitkan pada Februari 1988 merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, dan Ling sebagai menteri pengangkutan atau presiden MCA. Tidak ada disebut Ling berkhidmat sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, Ling menjadi pengerusi BN buat seketika pada 16 Feb 1988. Ini adalah sesuatu yang luar biasa kerana peranan itu secara tradisinya disandang oleh presiden Umno sehingga ke hari ini.
New Straits Times melaporkan pada edisi keesokan harinya: “Ahli majlis tertinggi Barisan memilih presiden MCA Ling Liong Sik sebagai pengerusi. Beliau mempengerusikan bahagian pertama mesyuarat yang menerima Umno baharu sebagai ahli gabungan itu.
“Beliau melepaskan kerusi selepas Mahathir dilantik semula sebagai pengerusi oleh majlis penuh 39 wakil daripada 13 parti.”
Mesyuarat untuk menerima semula Umno ke dalam BN dilaporkan mengambil masa sejam.
Satu lagi laporan dalam edisi hari sebelumnya memetik presiden MIC ketika itu Samy Vellu menjelaskan mengapa Ling adalah orang yang sesuai untuk menjadi pengerusi BN pada masa krisis itu, walaupun Samy memegang jawatan kabinet yang lebih kanan daripada Ling sebagai menteri kerja raya.
"Kekananan parti lebih penting daripada kekananan dalam kabinet," katanya dipetik sebagai berkata.
Ketika dihubungi, bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker mengesahkan Ling mempengerusikan mesyuarat BN untuk menerima semula Umno yang baru didaftarkan semula ke dalam BN, tetapi tidak pernah menjadi pemangku perdana menteri.
Ini kerana tidak pernah timbul persoalan sama ada Mahathir kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, justeru dia terus menjadi perdana menteri di tengah-tengah krisis itu.
“MCA kekal teguh dan setia kepada semangat BN dan memegang benteng itu apabila Umno dibatalkan pendaftarannya. Ling telah mengelakkan krisis politik atau huru-hara dengan kebijaksanaannya […]
“Dengan kata lain, MCA telah menyelamatkan masa untuk Umno dan negara. Keputusan Tun Ling telah membawa kestabilan dan keharmonian bukan sahaja Umno tetapi juga negara,” katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, dakwaan bahawa Sambanthan menjadi pemangku perdana menteri selama sehari selepas kematian Ismail diketengahkan media terkemuka, termasuk dalam wawancara The Star pada 2019 dengan balunya Uma Sambanthan.
Akhbar harian berbahasa Inggeris itu melaporkan sebagai latar belakang cerita bahawa: “Sambanthan memegang pelbagai portfolio menteri: Buruh (1955–57), Kesihatan (1957–59), Pekerjaan, Pos dan Telekomunikasi (1959–71) dan Perpaduan Nasional (1972– 74) malah pernah menjadi Pemangku Perdana Menteri selama sehari pada Ogos 1973 ketika Perdana Menteri Tun Abdul Razak berada di persidangan di Kanada dan Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail meninggal dunia.”
Semakan Malaysiakini tidak menjumpai artikel berita dari Ogos 1973 mengenai jawatan perdana menteri Sambanthan.
Namun begitu, sebuah akhbar Canadian Press yang diterbitkan pada 7 Ogos 1973 mengenai pemimpin dunia yang menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel ke-2 berkata, "Perdana Menteri Abdul Razak dari Malaysia pulang ke tanah air minggu lepas selepas kematian timbalan perdana menteri Malaysia."
Pertemuan itu berlangsung di Ottawa, Kanada. Ini menguatkan dakwaan bahawa Abdul Razak berada di luar negara apabila timbalannya meninggal dunia akibat serangan jantung mengejut.