Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa berkata PAS seharusnya mendidik penyokong mereka memahami konteks sebenar mengenai pemerkasaan mahkamah dan undang-undang syariah yang menjadi isu perdebatan baru-baru ini.

Katanya, isu tersebut hanyalah mainan politik dan retorik yang bertujuan menaikkan kemarahan rakyat terutama orang Islam.

Dia merujuk tindakan Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang memfailkan petisyen mahkamah terhadap 18 peruntukan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mujahid memetik kenyataan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang menegaskan tidak timbul persoalan pihak pempetisyen mahupun mahkamah untuk menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam tetapi ia adalah berhubung kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang.

"Maknanya dari awal dah sudah jelas, there is no such thing (melemahkan agama Islam dan undang-undang syariah). Ia (isu tersebut) bukan soal Islam dicabar atau dihina, ia hanya retorik dan politik, yang menimbulkan kemarahan serta sekali gus meraih sokongan politik kepada mereka," kata Mujahid.

DUN Kelantan buat silap?

Ketika ditanya adakah sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan membuat kesilapan sewaktu merangka enakmen-enakmen tersebut, dia tidak menjawab secara spesifik tapi menegaskan bahawa perkara yang berlaku boleh dijadikan pengajaran kepada semua pihak terutama kerajaan negeri.

Tambahnya, pelaksanaan undang-undang syariah seharusnya tidak mempunyai ruang yang boleh dicabar pihak lain.

Pun begitu, Mujahid berkata walaupun ia melibatkan isu sensitiviti umat Islam, dia menyeru untuk melihat kepada peruntukan yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan serta menumpukan usaha menutup kelompongan pada undang-undang sedia ada supaya tidak dicabar di masa hadapan.

"Perkara ini akan jadi satu pengajaran bukan sahaja pada DUN Kelantan, tapi badan perundangan di peringkat negeri yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan juga harus berhati-hati ketika membuat undang-undang.

"Kita tahu kuasa undang-undang Islam ada pada negeri, justeru, kerajaan negeri perlu menjalankan tugas dengan berhati-hati supaya ia (undang-undang) tidak akan dicabar.

"Seharusnya kita tidak fokus pada petisyen tapi ambil kira semua pihak yang terlibat dalam perundangan iaitu Parlimen dan DUN, bermakna sejauh mana mereka memberi maklum balas kepada isu-isu ini dan mengambil iktibar?

"Bagaimana mereka hendak menutup lakuna-lakuna (kelompongan) yang ada supaya tak ada lagi petisyen (mencabar) di masa hadapan, itulah cara kita nak memperkasakan undang-undang syariah, bukan dengan bertempik, menjerit Islam dihina tapi apa yang dibuat di (sidang) Dewan Negeri?" soalnya.

Pemimpin PAS celaru

Mujahid turut menyifatkan kegagalan menjelaskan isu sebenar kepada rakyat terutama penyokong sendiri berpunca daripada 'kecelaruan' pemimpin PAS sehingga menyebabkan kebanyakan mereka menganggap agama Islam telah dihina, terancam serta undang-undang syariah telah dibatalkan.

Dia turut mempersoalkan mengapa PAS tidak bertemu menteri agama atau ketua hakim mahkamah syariah bagi mendapatkan penjelasan, sebaliknya menganjurkan himpunan sambil menyampaikan maklumat yang tidak tepat

"Inilah kecelaruan pemimpin-pemimpin PAS, kekeliruan mereka dalam tanggungjawab menjaga agama dan menghormati prinsip Islam dan undang-undang.

"Sebagai penganjur, dia kata nak memperkasakan (undang-undang syariah) tetapi di bawah (penyokong) kata nak selamat undang-undang Islam daripada dihina, dicabar dan dikatakan akan dihapuskan.

"Sepatutnya jumpa menteri agama, ketua hakim mahkamah syariah. Semasa saya jadi menteri, kita ada satu jawatankuasa sivil dan syarak, patutnya rujuklah pada Jakim apa yang dah dibuat supaya pada zaman saya, kita patut menutup ruang-ruang ini dengan memperkasakan pentadbiran, bukan melalui ruang-ruang politik," tegasnya.

Mujahid memberitahu ketika pentadbiran PH kali pertama, kerajaan telah berjaya memperkenalkan Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 bagi meningkatkan kualiti peguam dan mengukuhkan undang-undang syariah.

Selain itu, menubuhkan mahkamah hadanah, bagi membantu kes-kes wanita yang diceraikan dan dibiarkan tanpa nafkah, hak penjagaan anak dan sebagainya.

"Hakim-hakim syarie juga kita hantar kursus, bukan belajar tentang undang-undang syariah sahaja tapi prinsip undang-undang dalam sivil supaya boleh diguna pakai ketika membuat penghakiman yang lebih profesional.

"Jadi, perlu ke berhimpun? Kalau nak perkasakan undang-undang syariah, sedangkan nak perkasakan itu ada disiplin-disiplinnya, ada institusi, orang-orang yang bertanggungjawab, inilah kegagalan pemimpin PAS untuk mendidik penyokong mereka dalam memahami isu sebenar," tegasnya lagi.

Road Map penyelesaian isu peruntukan undang-undang syariah

Jelasnya, satu carta aliran kerja (road map) bagi menyelesaikan isu berkaitan undang-undang Islam serta menyelaras peruntukan undang-undang standard bagi semua negeri dengan membuat sesi libat urus termasuk bersama negeri pembangkang, Kelantan dan Terengganu.

"Kita dah buat road map untuk menyelesaikan isu undang-undang Islam, bermula di peringkat tertentu sehinggalah kepada melahirkan akta yang standard untuk menjadi ikutan kepada semua negeri. Hari ini, satu kes jenayah, hukuman berbeza antara negeri.

"Dulu, tiga bulan sekali kita berjumpa, sebab itu kena cari satu jalan selaraskan dan itulah yang kita buat dulu," katanya.

Namun, menurut Mujahid, rancangan itu tergendala setelah terjadinya 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan kerajaan PH ditumbangkan.

Konsep pemulihan

Katanya, dia turut memperkenalkan konsep pemulihan bagi memberi pilihan kepada hakim ketika membuat penghakiman.

"Kalau hakim buat penghakiman, dia tiada pilihan selain antara hukuman sebat, penjara atau membayar denda. Tapi ada kes first offended (kesalahan pertama) dan hakim juga ada timbang rasa namun masalahnya tiada pilihan penghakiman yang lain, tiada klausa seperti berkelakuan baik, itu konsep yang saya perkenalkan iaitu 'Iqobi dan Islahi - hukuman dan rehabilisasi.

"Sekarang, saya tak tahu sama ada usaha rehabilisasi dan penyelarasan ini diteruskan atau tidak, tetapi pada waktu itu ketua hakim mahkamah syariah adalah Datuk Naim - Menteri Agama," katanya lagi.

Kerajaan perlu beri penerangan

Mujahid menambah, dalam sidang Parlimen, satu jawatankuasa telah dinyatakan yang berfungsi mengendalikan isu-isu serta melihat secara menyeluruh penambahbaikan yang boleh dibuat dan masalah yang mampu berkemungkinan mewujudkan ruang untuk dicabar.

Dia turut mencadangkan kepada majlis agama Islam negeri untuk melantik penasihat undang-undang khusus dalam undang-undang sivil dan undang-undang syariah, selain menyarankan agar mempergiatkan usaha penerangan kepada rakyat tentang isu-isu yang berlaku serta membuat sesi libat urus dengan lebih kerap.

"Setahu saya, pada masa sekarang, majlis agama Islam negeri hanya rujuk kepada legal advisor sahaja, tapi ia bukan pakar dalam syariah. Jadi, kena lantik penasihat undang-undang yang khusus.

"Peguam negara kena duduk (berbincang), beri nasihat, beri penerangan kepada rakyat tentang apa yang berlaku, ia menjadi tanggungjawab menteri agama untuk turun beri penerangan dan penjelasan, serta engage dalam town hall, anjur sesi libat urus bersama rakyat.

"Kita tak boleh salahkan orang lain.. tapi salahkan diri sendiri, kenapa biarkan ruang untuk orang lain mencabar, perkara ini bukan baru. Mereka yang cuai, kemudian jadikan isu ini bukan untuk memperkasakan undang-undang tapi 'menunggang' demi kepentingan politik. Ini satu kesalahan dalam konteks sifat malaysia yang berperlembagaan," ujarnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS