Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya Anwar Ibrahim meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.
“Mungkin, dengan cara ini, sedikit sebanyak dapat memulihkan sokongan orang Melayu di negara ini kepada kerajaan campuran pimpinan beliau berbanding memperagakan capal, songkok, cium keris, atau bertiwikrama bahasa!” katanya.
Debat sama ada orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri timbul kembali susulan kenyataan ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang kepada pelajar Malaysia di United Kingdom bulan lepas.
Mengambil contoh bagaimana pemimpin kulit hitam Barack Obama menjadi presiden Amerika Syarikat selepas 230 tahun penubuhan negara itu, Lim berharap suatu hari nanti ia akan berlaku di Malaysia.
Pandangan itu bagaimanapun membuatkan dia dikritik hebat pembangkang.
Bagaimanapun, anggota parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang juga seorang peguam tampil mempertahankanya dengan berkata perlembagaan tidak melarangnya.
Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa satu-satunya keperluan untuk seseorang menjadi perdana menteri ialah menjadi ahli parlimen, yang dalam perkiraan Yang di-Pertuan Agong, mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Wan Fayhsal berakta, sudah tiba masanya untuk mematikan igauan pemimpin DAP yang telah puluhan tahun “mengigau dan menjual mimpi ngeri” kepada orang Melayu.
“Inilah waktunya untuk mematikan igauan pemimpin DAP ini yang telah puluhan tahun mengigau dan menjual mimpi ngeri kepada orang Melayu dan kaum pribumi yang mempelopori perjuangan kemerdekaan tanah air dengan bermandi darah dan air mata melawan penjajah ratusan tahun lamanya,” katanya.