Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan bakal keluar arahan dos penggalak ketiga Covid-19
Diterbitkan:  Dec 14, 2023 1:35 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Kerajaan bakal mengeluarkan arahan bagi pelaksanaan program imunisasi dos penggalak vaksin Covid-19 dalam masa terdekat, berikutan peningkatan kes kebelakangan ini.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini terutama kepada kumpulan rentan yang mempunyai risiko komorbiditi.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini akan menggunakan stok bekalan vaksin sedia ada di negara ini yang masih mencukupi dan belum mencapai tarikh luput selain ia berkesan melindungi orang ramai daripada jangkitan mutasi dan strain baru.

Dr Dzulkefly Ahmad

“Mungkin sedikit waktu lagi KKM akan keluar arahan untuk (ambil) dos penggalak, terutama mereka daripada kumpulan rentan.

"Dos penggalak perlu untuk melindungi kumpulan rentan termasuk warga emas dan golongan komorbid yang mudah terdedah kepada risiko dan kesan memudaratkan.

“Vaksin yang kita ada masih boleh melindungi orang ramai daripada sebarang varian baharu Covid-19 di luar sana,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan KKM pagi tadi di Putrajaya.

Stok semasa vaksin Covid-19 Malaysia masih berdasarkan formulasi yang dilancarkan pada hari-hari awal wabak itu.

Tahun lalu formulasi vaksin Covid-19 telah dikemas kini kepada formulasi bivalen yang menyasarkan varian Omicron serta strain asal

Rumusan tahun ini dikemas kini dengan formulasi monovalen berdasarkan varian XBB.1.5, yang merupakan subvarian Omicron lazim pada masa itu.

Kedua-dua versi yang dikemas kini itu belum lagi dibawa ke Malaysia.

Sementara itu, Dr Dzulkefly menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka di kawasan sesak dan mengamalkan kuarantin kendiri selama lima hari jika didapati positif Covid-19.

Ini katanya, terutama menjelang musim perayaan.

"Ramai yang akan bercuti tetapi jangan jadikan itu sebagai alasan untuk mengabaikan SOP," katanya.

Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di negara ini meningkat hampir dua kali ganda kepada 12,757 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) dari 3-9 Disember berbanding 6,796 kes minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan bagaimanapun berkata majoriti kes hanya mengalami simptom ringan yang tidak memerlukan rawatan di hospital.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS