Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu PM bukan Melayu: 'Ada apartheid di Malaysia?'

Setiap rakyat Malaysia seharusnya boleh mengimpikan untuk menjadi perdana menteri tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, kata aktivis hak asasi manusia, Jerald Joseph.

Bercakap pada forum di Kuala Lumpur, bekas pesuruhjaya Suhakam itu berkata tidak ada rakyat Malaysia yang rendah kedudukannya di negara ini, sambil menegaskan setiap daripada mereka adalah sama.

“Setiap negara ada kumpulan majoritinya sendiri. India majoriti Hindu, Malaysia negara majoriti Islam, Amerika dan sebagainya.

“Tetapi adakah ia memberi mereka hak untuk mengatasi kesejagatan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia untuk semua?

"Kerana tanggapan hak asasi manusia adalah tugas dan kewajipan yang terletak di tangan kerajaan. Ia tidak mengira jika anda menganut agama atau budaya majoriti di negara ini," katanya.

Joseph adalah salah seorang ahli panel dalam forum hak asasi manusia bertajuk 'Universality for All in Malaysia: It’s Time Now' anjuran bersama NGO Pusat Komas dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Pejabat Serantau Asia Tenggara).

Forum itu diadakan sempena ulang tahun ke-75 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

‘Adakah kita Apartheid?’

Joseph, yang merupakan pengarah Pusat Komas, berkata tindakan menyerahkan hala tuju negara ini kepada kumpulan majoriti boleh menjerumuskan negara ini dalam faham fasisme.

"Jika anda rakyat Malaysia, anda adalah rakyat Malaysia. Kita mempunyai identiti budaya yang berbeza, tidak mengapa. Tetapi hanya ada satu bentuk kewarganegaraan.

“Jika ada dua bentuk kerakyatan, ia menimbulkan persoalan jika wujud apartheid di Malaysia,” katanya.

Joseph berkata setiap rakyat Malaysia harus dibolehkan mengetuai syarikat berkaitan kerajaan, panglima angkatan tentera, atau ketua polis negara.

Baru-baru ini, penasihat DAP Lim Kit Siang mendapat kecaman daripada kumpulan dan ahli politik pro-Melayu selepas mengatakan orang bukan Melayu juga boleh dilantik sebagai perdana menteri.

Lim juga dipanggil polis berhubung catatan blognya pada 30 Nov bertajuk "Malaysia Constitution provides for a Malaysia Dream and not a mono-ethnic dream as it provides that a non-Malay can be a prime minister".

Ahli politik itu turut membuat kenyataan serupa dalam ucapannya kepada pelajar Malaysia di United Kingdom.

‘Umpama menjerat leher sendiri’

Sementara itu, Joseph turut menggesa mereka yang hadir di forum itu supaya menegur rakyat Malaysia yang menentang ratifikasi Statut Rom pada 2019.

Katanya, peserta perhimpunan berkenaan telah merugikan perjuangan Palestin apabila Malaysia kini tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Saya rasa kita umpama 'menembak kaki sendiri’ kerana orang yang membantah menyokong Palestin hari ini adalah orang yang sama yang memprotes Statut Rom (pada 2019).

“Ironinya kumpulan ini turut berada di The Hague beberapa minggu lalu mahu menyerahkan surat kepada ICC untuk mengambil tindakan.

"Bagaimana anda melakukan protes di sini dan pergi ke The Hague untuk meminta tindakan.

“Kita perlu menegur mereka ini kerana melakukan kezaliman terhadap perjuangan Palestin," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS