Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memuji sikap Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengambil pandangan serta pendapat pelbagai pihak dalam merombak barisan kabinet menteri, hari ini.
Katanya, walaupun ia merupakan hak mutlak perdana menteri untuk melantik menteri dan timbalan menteri yang dirasakan sesuai dengan pentadbirannya, Anwar tetap mengambil kira kedudukan parti dan juga pendapat umum yang mahukan beberapa bekas menteri dilantik semula.
Presiden Amanah itu turut menyatakan kegembiraan di atas pelantikan Dzulkefly Ahmad sebagai menteri kesihatan, jawatan yang disandang ahli parlimen Kuala Selangor itu ketika di bawah teraju Dr Mahathir Mohamad.
"Alhamdulillah, perdana menteri telah membuat rombakan dan memilih yang dianggap terbaik untuk kabinetnya.
"Saya amat gembira, terutama (pelantikan) Dzulkefly, bekas menteri kesihatan yang dianggap terbaik semasa 22 bulan menjadi menteri kesihatan, sekarang dikembalikan tugas (kepadanya) semula.
"Memang hak untuk melantik menteri kabinet, timbalan menteri dan sebagainya adalah hak mutlak perdana menteri, bagaimanapun, perdana menteri mengambil kira kedudukan parti politik, sokongan umum dan sebagainya," kata Mohamad yang mesra disapa Mat Sabu.
Mohamad turut berharap agar semua barisan menteri dan timbalan menteri yang dilantik atau ditukar portfolio akan menjalankan tugas dengan baik.
Selain Dzulkefly, Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan Naib Presiden Umno Johari Ghani turut dilantik kembali bagi menganggotai kabinet Anwar.
Dengan pelantikan Dzulkefly, Amanah mengekalkan komposisi dua menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan dan sekaligus menamatkan spekulasi mengenai pengganti bekas Menteri Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub yang meninggal dunia, Julai lalu.
Dzulkefly sempat membuat hantaran di X (dulu dikenali sebagai Twitter) dengan menyatakan kesediaannya untuk berkhidmat semula dalam pentadbiran kerajaan.
"Dua belas bulan rehat yang baik atau seakan terhenti. Sedia untuk bangkit semula," katanya.
Dia menggantikan Dr Zaliha Mustafa yang diberikan tugas baru sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).