Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pemimpin pembangkang menyatakan rasa 'seronok' selepas pengumuman rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata ada beberapa perkara yang menarik perhatiannya susulan pengumuman itu.

"Saya sebagai pembangkang seronoklah tengok (rombakan kabinet), sebabnya lebih banyak peluang untuk kita lakukan semak dan imbang dalam parlimen nanti.

"Jadi, selamat maju jaya kerajaan Madani," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Mengulas lanjut, ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu antara lain menyoal apakah pecahan portfolio kementerian dilakukan susulan kegagalan menteri menggalas tanggungjawab.

"Pertamanya nampak sangat kabinet Anwar ini mungkir janji, daripada mengecil ia membesar malah dia pecahkan kementerian mengikut portfolio yang sebenarnya boleh saja dipikul oleh menteri sebelum ini.

"Contoh Kementerian Komunikasi dan Digital, adakah bermakna menterinya Fahmi Fadzil gagal melakukan kerjanya, dan juga Nik Nazmi (Nik Ahmad) gagal melakukan kerjanya?

"Sedangkan bagi saya kedua-dua kepimpinan PKR ini mereka nampak okay kecuali Fahmi dari segi kegagalan menguruskan propaganda media digital, yang lain saya rasa tak ada masalah sangat.

"Apabila dipecahkan kementerian induk kepada kementerian-kementerian lain untuk apa sebenarnya? Saya tidak faham," kata Wan Fayhsal.

Terdahulu dalam rombakan itu Anwar mengumumkan Kementerian Komunikasi dan Digital dipecahkan menjadi dua kementerian berasingan.

Fahmi dikekalkan sebagai menteri komunikasi manakala Kementerian Digital diterajui Gobind Singh Deo.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pula dipecahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam diterajui Nik Nazmi dan Kementerian Peralihan tenaga dan Daya Guna Awam diterajui Fadhillah Yusuff.

Sementara itu, Wan Fayhsal berkata dia juga melihat wujud kejanggalan apabila Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilantik sebagai menteri luar sedangkan Naib Presiden Umno Khaled Nordin menggalas jawatan menteri pertahanan.

"Kenapa Tok Mad (Mohamad) iaitu timbalan presiden Umno diletakkan sebagai menteri luar dan naib presiden Umno (Khaled) diletakkan sebagai menteri pertahanan.

"Ini satu kejanggalan bagi saya, nampaknya ada usaha untuk mengekang pengaruh Tok Mad daripada menjalar ke akar umbi, kementerian yang banyak duduk di luar, tidak ada jentera di akar umbi.

"Jadi bacaan saya ada permainan di situ," katanya yang turut mempersoalkan ketiadaan menteri mewakili kaum India.

Tambahnya, kabinet baru itu juga menyaksikan penghinaan kepada sayap Wanita Umno apabila mendakwa ketuanya Noraini Ahmad 'diturunkan' pangkat.

"Paling kelakar sekali lagi pemimpin kanan Umno yang juga bekas menteri menjadi timbalan menteri, Noraini dia ketua wanita Umno tetapi tapi bagi dia timbalan menteri saja.

"Ini satu penghinaan bagi saya, kepada wanita Umno, Noraini mengambilnya itu menghina diri sendiri, sebab dia bekas menteri.

"Jadi inilah kabinet bagi saya tidak ada tulang belakang. Kabinet yang sebenarnya mempunyai agenda untuk menjaga kepentingan politik masing-masing," kata Wan Fayhsal lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS