Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilihan Pemuda Amanah: Danial sedia gabung bersama Hasbie

Adun Batu Tiga Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid menyatakan kesediaan bergabung dengan Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda yang akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan sayap parti itu.

Menurut Danial, di bawah kepimpinan Hasbie episod hitam dan perpecahan dalam pemuda Amanah sebelum ini berjaya diselesaikan.

"Perpecahan (pemuda) yang lalu telah ditautkan kembali oleh tonggak kepimpinan Hasbie.

"Dan kesatuan ini juga telah memanfaatkan pemuda apabila ramai pemuda telah diberikan peluang bertanding dalam banyak kerusi pilihan raya, perjawatan dalam kerajaan dan sebagainya," katanya pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga, hari ini.

Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda.

Danial turut mengumumkan 18 orang calon bagi zon tengah yang turut mencalonkan diri pada pemilihan Pemuda Amanah yang akan berlangsung 16 Dis ini.

Selain Danial dan Hasbie, 18 calon tersebut terdiri golongan profesional seperti pegawai menteri, ahli majlis, ahli lembaga pengarah dan peguam.

"Hampir kesemua calon yang diperkenalkan merupakan pemimpin akar umbi selain menjawat jawatan di pelbagai agensi dan kementerian.

Katanya, kepimpinan pemuda yang diperlukan Amanah ketika ini bukanlah pemimpin yang bergantung kepada idea dan wawasan semata-mata, tetapi pemimpin yang 'walk the talk'.

"Kami dengan ini mengisytiharkan akan bersama-sama dengan pasukan YB Senator Hasbie Muda dalam pemilihan kali ini dan akan menggerakkan Pemuda Amanah Nasional pada penggal akan datang," katanya lagi.

Pemilihan jawatankuasa Pemuda Amanah akan dijalankan dengan setiap perwakilan dari sesebuah kawasan memilih 27 calon dan mereka yang mendapat undi tertinggi bermesyuarat pula untuk melantik ketua dan jawatan lain.

Pada 10 Dis lalu, Danial mempertimbangkan akan membentuk kerjasama dengan salah satu daripada calon ketua Pemuda Amanah iaitu Hasbie ataupun exco Pemuda Amanah merangkap Ketua Komunikasi Amanah Perak, Azhar Rahman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS